DKU cabar bukti penyiasatan Tuanku Muhriz: Mana minit, laporan, dapatan?
Dakwaan bahawa Tuanku Muhriz telah melalui proses penyiasatan yang mencukupi sebelum Proklamasi 19 April 2026 dikeluarkan dipertikaikan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
Dalam Perutusan Rasmi Setiausaha DKU bertarikh 4 Oktober, Dewan itu menegaskan tiada bukti dalam rekod rasminya yang menunjukkan satu penyiasatan menyeluruh terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dijalankan seperti yang dikehendaki Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Panjangnya sesuatu kenyataan, pengulangan sesuatu dakwaan atau penggunaan bahasa adat tidak boleh menggantikan pematuhan kepada syarat-syarat mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959,” menurut perutusan itu atas nama Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin.
DKU berkata Perkara 10 menetapkan keperluan “penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya” oleh Undang sebelum sebarang tindakan meminta Yang di-Pertuan Besar meletakkan jawatan atau turun takhta boleh dibuat.
Namun, menurut Dewan itu, tiada rekod penyiasatan, minit, laporan atau dapatan yang menunjukkan proses sedemikian pernah dijalankan terhadap Tuanku Muhriz.
“Tiada rekod/minit/laporan/dapatan penyiasatan sedemikian dalam rekod Setiausaha Dewan,” menurut DKU ketika menjelaskan pendiriannya terhadap proses yang didakwa berlaku sebelum Proklamasi 19 April.
Dewan itu turut mendakwa Tuanku Muhriz tidak diberikan notis sewajarnya berhubung penyiasatan tersebut dan tidak diberikan peluang yang bermakna untuk menjawab dakwaan yang dikemukakan terhadap baginda.
Menurut DKU, perkara itu penting kerana penyiasatan yang dimaksudkan Perkara 10 tidak boleh sekadar diterjemahkan sebagai mengemukakan beberapa soalan sebelum menunggu tempoh tertentu tanpa proses mendapatkan fakta, menilai keterangan dan merekodkan dapatan.
DKU secara khusus menolak dakwaan bahawa tiga soalan yang dikemukakan kepada Tuanku Muhriz pada 5 Mac 2026, diikuti tempoh 45 hari, sudah memenuhi kehendak Perkara 10.
“Tiga soalan dan tempoh 45 hari bukan penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya,” demikian pendirian DKU seperti dihuraikan dalam perutusannya.
Menurut Dewan itu, tempoh 45 hari semata-mata tidak menjadikan sesuatu proses sebagai penyiasatan, malah tiada rekod menunjukkan sepanjang tempoh tersebut berlaku penyiasatan lengkap yang memenuhi kehendak perlembagaan negeri.
DKU turut mempersoalkan dakwaan bahawa persidangan pada 5 Mac 2026 menjadi asas kepada proses tersebut kerana, menurutnya, persidangan yang berlangsung kira-kira sejam itu tidak merekodkan sebarang penyiasatan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Dewan itu berkata keterangan mengenai apa yang dikatakan berlaku pada 5 Mac juga hanya dikemukakan kemudian, termasuk melalui afidavit yang dibuat pada Julai 2026, sedangkan tiada rekod kontemporari yang membuktikan penyiasatan menyeluruh telah dijalankan.
“Tempoh yang berlalu bukan bermakna suatu penyiasatan telah dijalankan,”tegas DKU dalam menghuraikan pendiriannya bahawa berlalunya tempoh 45 hari tidak boleh dengan sendirinya dianggap sebagai satu penyiasatan.
DKU berkata kegagalan memenuhi syarat mandatori Perkara 10 mempunyai implikasi langsung terhadap kesahan Proklamasi 19 April kerana proses penyiasatan itu merupakan prasyarat sebelum tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar boleh diambil.
Sehubungan itu, DKU mengekalkan pendirian bahawa Proklamasi 19 April tidak mempunyai kesan perlembagaan untuk menamatkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dewan itu pada masa sama mencabar mana-mana pihak yang mendakwa “penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya” telah dijalankan supaya mengemukakan rekod lengkap proses berkenaan di hadapan forum yang mempunyai bidang kuasa.
Bagi DKU, persoalan utama bukan berapa lama tempoh diberikan kepada Tuanku Muhriz untuk menjawab, tetapi sama ada benar-benar wujud suatu penyiasatan yang lengkap, direkodkan dan memberikan baginda peluang sewajarnya untuk menjawab dakwaan sebelum tindakan diambil terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
BACA JUGA Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar, Proklamasi 19 April tak sah – DKU