Raja Permaisuri Agong ziarah keluarga Irene Sofiya, titip kata semangat
Keprihatinan terhadap keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal dizahirkan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan berangkat menziarahi keluarga pelajar berusia 16 tahun itu di Kampung Selamat, Yong Peng, hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke kediaman keluarga Allahyarham turut diiringi Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Pertemuan bersama keluarga Irene Sofiya dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd Fauzi Bachok.
Dalam kunjungan itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban keluarga yang sedang melalui saat sukar selepas kehilangan anak mereka.
Seri Paduka Baginda turut menyampaikan kata-kata semangat kepada bapa Allahyarham, Mohd Khairool Faisal Khyar, neneknya Jameyah Rabani serta ahli keluarga lain.
Pertemuan antara Raja Permaisuri Agong dengan keluarga Allahyarham berlangsung selama hampir sejam.
Kunjungan itu berlaku sehari selepas jenazah Irene Sofiya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Arshad selepas proses bedah siasat selesai.
Irene Sofiya, pelajar Tingkatan Empat, ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah menengah di Yong Peng kira-kira 5.50 petang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad sebelum ini memaklumkan mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis dan direman selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Motif serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian Irene Sofiya masih dalam siasatan pihak polis.
Dalam perkembangan berkaitan, bapa Allahyarham, Mohd Khairool Faisal, berkata nasihat Raja Permaisuri Agong supaya keluarga bersabar dengan ujian yang menimpa sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepada mereka.
“Baginda sangat prihatin dan kami menghargai titah baginda kepada keluarga kami. Baginda menasihati kami supaya bersabar dengan apa yang telah berlaku,” katanya.
Beliau turut berharap aspek keselamatan di sekolah diberi perhatian lebih serius supaya kejadian seumpama itu tidak berulang dan ibu bapa dapat menghantar anak mereka ke sekolah dengan lebih yakin.
Sementara itu, ibu saudara Irene Sofiya, Siti Nur Faeza Khyar, berkata keluarga tidak menutup pintu kepada mana-mana pihak yang mahu hadir dengan niat baik, termasuk keluarga remaja yang ditahan bagi membantu siasatan.
“Kalau datang dengan hati yang terbuka, kami akan terima semua,” katanya selepas menerima kunjungan Raja Permaisuri Agong.
Kunjungan Raja Zarith Sofiah itu turut memperlihatkan sokongan moral kepada keluarga Allahyarham yang kini berdepan kehilangan dalam keadaan kes kematian Irene Sofiya masih dalam siasatan.
BACA JUGA Gabungan SIC, BIC jadikan F1 Bahrain Grand Prix 2026 berjaya