PRN Melaka: SPR hari mengundi 14 November, calon mula berentap 31 Oktober
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kini memasuki fasa rasmi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November 2026 sebagai hari pengundian, manakala 31 Oktober ditetapkan sebagai hari penamaan calon.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, mengumumkan tarikh berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16 hari ini.
Menurut SPR, 10 November pula ditetapkan sebagai hari pengundian awal bagi PRN yang melibatkan kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Penetapan tarikh itu dibuat susulan pembubaran DUN Melaka ke-15 yang berkuat kuasa pada 23 September lalu, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan hari pengundian pada 14 November, parti-parti yang bakal bertanding kini mempunyai tempoh untuk memuktamadkan calon serta menyusun strategi menghadapi persaingan di semua kawasan.
PRN Melaka kali ini bakal menjadi medan perebutan 28 kerusi DUN selepas pilihan raya negeri terakhir pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.
Keputusan PRN 2021 membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga, namun komposisi politik DUN kemudiannya berubah susulan perkembangan melibatkan beberapa wakil rakyat.
Antara perubahan itu termasuk ADUN Rembia daripada BN, Datuk Muhammad Jailani Khamis, yang menyertai Pas, manakala ADUN Bemban daripada Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub, dipecat daripada parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Bagi PRN kali ini, perhatian dijangka tertumpu kepada keupayaan setiap gabungan mempertahankan kawasan sedia ada selain usaha merampas kerusi yang dikuasai lawan.
Proses pilihan raya turut melibatkan pengundian pos bagi kategori tertentu, termasuk anggota dan pegawai SPR, petugas pilihan raya, anggota polis dan tentera serta petugas media yang tidak dapat hadir pada hari pengundian. SPR sebelum ini membuka permohonan undi pos bagi PRN Melaka ke-16 mulai 23 September.
Dengan tarikh penamaan calon yang semakin hampir, tumpuan selepas ini pastinya beralih kepada senarai calon yang akan diturunkan parti masing-masing serta bentuk pertandingan yang bakal berlaku di 28 kawasan DUN.
Tarikh penting PRN Melaka ke-16:
- 31 Oktober 2026 – Hari Penamaan Calon
- 10 November 2026 – Hari Pengundian Awal
- 14 November 2026 – Hari Pengundiaan
BACA JUGA Berita di Indonesia disebar seolah-olah berlaku di Malaysia, kalau bukan hasutan, apa namanya?