Reformasi ekonomi mula beri hasil, Belanjawan 2027 perkukuh manfaat untuk anak muda
Prestasi ekonomi Malaysia yang semakin kukuh hasil pelaksanaan reformasi ekonomi oleh Kerajaan MADANI perlu diteruskan dengan tumpuan lebih besar kepada usaha memastikan manfaat pertumbuhan itu dapat dinikmati golongan muda.
Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini dilihat penting untuk menterjemahkan hasil reformasi hampir empat tahun pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada peluang pekerjaan lebih berkualiti, pendapatan lebih baik, kos sara hidup lebih terkawal dan akses perumahan yang lebih mudah untuk anak muda.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, berkata kerajaan sepanjang tempoh berkenaan telah melaksanakan reformasi percukaian, penyasaran subsidi, pengukuhan fiskal serta usaha menarik pelaburan bernilai tinggi.
Menurutnya, langkah berkenaan mula diterjemahkan menerusi prestasi ekonomi yang semakin memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, manakala pelaburan diluluskan mencapai RM218.5 bilion bagi separuh pertama tahun ini.
Bagaimanapun, Nabil berkata kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun masih berada pada 10.2 peratus, melibatkan kira-kira 292,500 anak muda, manakala 35.2 peratus pekerja berpendidikan tertiari masih berada dalam pekerjaan yang tidak setara dengan tahap kemahiran mereka.
“Angka ini menunjukkan bahawa meskipun Malaysia mencatatkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan, manfaatnya masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada penciptaan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi.
“Justeru, insentif pelaburan perlu dikaitkan dengan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, gaji kompetitif, pemindahan teknologi dan pengambilan tenaga kerja tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Nabil berkata Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pula berpotensi mewujudkan sekitar 310,000 peluang pekerjaan menjelang 2050, justeru pembangunan bakat tempatan dalam bidang tenaga solar, teknologi penyimpanan tenaga, grid pintar, mobiliti elektrik dan industri teknologi hijau perlu diperkukuh menerusi kerjasama kerajaan, industri, TVET dan universiti.
Dalam soal tenaga, beliau berkata ketidaktentuan harga tenaga global menunjukkan kebergantungan berterusan kepada subsidi bahan api dan elektrik boleh mendedahkan kewangan negara kepada risiko luaran, justeru Belanjawan 2027 perlu menyediakan insentif lebih besar untuk menggalakkan rakyat beralih kepada tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik (EV).
Beliau berkata kerajaan juga boleh meneliti pendekatan Sarawak yang menawarkan subsidi solar kediaman antara RM8,000 hingga RM12,000, selain model Australia menerusi Cheaper Home Batteries Program yang memberikan diskaun sekitar 30 peratus bagi pemasangan bateri rumah yang digabungkan dengan sistem solar.
Bagi menangani kos sara hidup, Nabil berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada dasar yang mampu mengurangkan perbelanjaan bulanan golongan muda, termasuk mempertimbangkan kadar khas e-hailing untuk pelajar bagi menyelesaikan masalah perjalanan dari kediaman ke stesen pengangkutan awam dan dari stesen ke destinasi akhir, khususnya bagi mereka yang tinggal jauh daripada jaringan MRT, LRT atau laluan bas utama.
Dalam isu perumahan pula, katanya, cabaran anak muda bukan semata-mata untuk memiliki rumah, sebaliknya mendapatkan tempat tinggal yang selamat, sesuai dan mampu dibayar. “Sebab itu, konsep Sewa Untuk Dimiliki (RTO) perlu diperluaskan, di samping penyediaan lebih banyak pilihan sewaan mampu milik berhampiran jaringan pengangkutan awam,” katanya.
Nabil turut menggesa kerajaan mengkaji pengurangan atau pelupusan hutang PTPTN secara bersasar, khususnya bagi peminjam berpendapatan rendah yang telah menanggung hutang lebih 10 hingga 15 tahun, dengan tunggakan kini mencecah RM11.06 bilion melibatkan kira-kira 1.2 juta peminjam.
Beliau menegaskan cadangan itu bukan bermaksud semua hutang perlu dihapuskan, sebaliknya bantuan perlu diberikan berdasarkan tempoh hutang dan kemampuan pendapatan, manakala bayaran balik peminjam baharu wajar distrukturkan mengikut pendapatan supaya masalah tunggakan tidak terus berulang.
Menurut Nabil, Kerajaan MADANI sepanjang hampir empat tahun pentadbiran telah mengambil beberapa langkah yang tidak semestinya popular bagi memperbaiki asas ekonomi negara, mengukuhkan kedudukan fiskal dan mengurangkan ketirisan.
Justeru, katanya, Belanjawan 2027 perlu menjadi fasa seterusnya yang memastikan hasil pemulihan ekonomi itu lebih jelas dirasai rakyat menerusi pekerjaan lebih baik, kos kehidupan lebih rendah, akses perumahan lebih mudah dan peluang mobiliti sosial yang lebih luas.
BACA JUGA Pas heret kemelut Negeri Sembilan, tuduh PH ‘langgar’ raja dan syarak, serang DAP lagi