PH buka semua pintu? 28 kerusi Melaka kini dalam pertimbangan

Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan meletakkan calon di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, meskipun sasaran awal gabungan itu adalah antara 18 hingga 21 kerusi.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan untuk bertanding di semua kerusi masih dalam pertimbangan dan bergantung kepada perkembangan rundingan politik dalam tempoh berbaki sebelum keputusan muktamad dibuat.

Katanya, PH ketika ini hampir pasti bertanding di antara 18 hingga 21 kerusi, namun kemungkinan memperluaskan jumlah itu kepada kesemua 28 kerusi tidak boleh diketepikan.

“PH yang hampir pasti dalam 18 kerusi hingga 21 kerusi, namun kalau keadaan terpaksa mungkin kita bertanding 28 kerusi, itu yang sedang dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru, Melaka, hari ini.

Amirudin berkata keputusan akhir mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PH perlu diputuskan Majlis Presiden, manakala pembahagian kerusi dan calon pula akan ditentukan oleh parti komponen masing-masing.

Menurutnya, PH juga sudah menyediakan pelan bagi menghadapi PRN berkenaan sama ada bertanding secara bersendirian atau meneruskan kerjasama dengan parti lain.

Pada masa sama, katanya, ruang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) masih terbuka walaupun proses untuk mencapai persetujuan bukan sesuatu yang mudah.

“Perbincangan masih terbuka dengan Barisan Nasional (BN) walaupun untuk ‘membuka kuncinya (BN) agak sukar’,” katanya.

Amirudin berkata semua kerusi yang bakal ditandingi PH akan diberi perhatian bagi memastikan gabungan itu dapat meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi berbanding pilihan raya sebelum ini.

Katanya, perkembangan politik masih boleh berubah dalam tempoh seminggu akan datang dan PH bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan sebelum keputusan kepimpinan pusat dimuktamadkan.

“Masih ada seminggu lagi. 24 jam pun masa yang terlalu lama dalam politik, macam-macam boleh berlaku. Kita bersedia sebaik mungkin untuk semua kemungkinan, dan tunggu keputusan pimpinan pusat,” katanya.

BACA JUGA Belanjawan 2027 esok: PMX beri bayangan, apa nasib poket rakyat?