Skandal 1MDB, Tabung Haji dan Felda jangan berulang, PMX mahu wang rakyat diurus lebih telus

Kerajaan MADANI mengambil langkah memperketat pengurusan wang dan aset negara bagi memastikan skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kemelut Tabung Haji dan FELDA tidak berulang sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan yang merangkumi syarikat milik kerajaan dan badan berkanun bagi memperkukuh tatakelola serta akauntabiliti pengurusan dana awam.

Perdana Menteri menegaskan bahawa agenda reformasi Kerajaan MADANI akan terus diperkukuh tanpa gentar ketika pentadbirannya memasuki tahun kelima.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, penggubalan undang-undang baharu itu bertujuan mengekang kelemahan pengurusan dan penyalahgunaan amanah yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada negara.

“RUU Entiti Milik Kerajaan akan digubal bagi memperketat tatakelola entiti yang diamanah mengurus wang dan aset rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Pendedahan maklumat

Dalam langkah meningkatkan ketelusan, kerajaan juga akan mewajibkan pendedahan maklumat projek kerajaan, termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak, susulan pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027.

Langkah itu bertujuan memastikan urusan perolehan awam dapat dipantau dengan lebih terbuka, sekali gus memperkukuh pertanggungjawaban pihak yang mengurus perbelanjaan negara.

Anwar turut mengumumkan ketetapan lebih ketat terhadap penggunaan kutipan bayaran balik pinjaman kerajaan, termasuk pinjaman pendidikan dan perniagaan yang disalurkan kepada Badan Berkanun Persekutuan.

Ahli Parlimen Tambun berkenaan berkata, kutipan tersebut hanya boleh digunakan semula bagi tujuan serta kumpulan sasaran yang diluluskan melalui peruntukan asal kerajaan.

Ketetapan sama turut meliputi pendapatan faedah yang dijana daripada dana berkenaan, bagi mengelakkan wang itu digunakan untuk perbelanjaan pentadbiran, program lain atau tujuan yang tidak mendapat kelulusan.

Ini bermakna, wang yang dikutip semula daripada peminjam pendidikan atau perniagaan tidak boleh sewenang-wenangnya dialihkan untuk membiayai urusan lain di luar mandat yang ditetapkan.

Bagi memperhebat usaha penguatkuasaan pula, kerajaan menyediakan peruntukan RM1.1 bilion untuk memperkukuh keupayaan operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan turut akan memperluas kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat bagi mempercepat penyampaian projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Antaranya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi akan dilibatkan dalam pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar serta perluasan capaian internet.

Kerjasama tersebut akan dilaksanakan melalui gabungan dana kerajaan dan peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi mempercepat pembangunan kemudahan asas.

BACA JUGA Rezeki RM1,000 buat puluhan ribu pemandu teksi dan bas sekolah, bantuan khas disalur minggu depan