Ada yang menangis, ada yang melonjak gembira – Belanjawan 2027 cetus reaksi positif rakyat
Ada yang sebak hingga menitiskan air mata, ada pula yang begitu teruja sehingga meluahkan kegembiraan secara terbuka.
Itulah antara reaksi rakyat di media sosial selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 hari ini.
Di platform Threads, beberapa pengguna berkongsi perasaan mereka terhadap pengumuman yang menyentuh kehidupan masing-masing, khususnya berkaitan masa depan doktor kontrak dan pelepasan cukai untuk pemilik haiwan peliharaan.
Seorang pengguna Threads, Atiqzaini, mengakui hampir menangis apabila mendengar pengumuman berkaitan jawatan tetap doktor, sekali gus mengingatkannya kepada perjuangan gerakan Hartal Doktor Kontrak yang bermula pada 2021.
“Ya Allah nangis laaa dengar. Terbayang kawan-kawan going on Hartal Doctor Kontrak dulu. Start 2021 weh. Selepas lima tahun, Alhamdulillah!” tulisnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memperjuangkan jawatan tetap untuk doktor kontrak, selain mengucapkan tahniah kepada golongan doktor yang bakal menerima manfaat daripada langkah tersebut.
Reaksi sama dikongsikan Nabellaanuar, yang begitu gembira dengan pengumuman pelepasan cukai berkaitan haiwan peliharaan, khususnya kucing.
“Sumpah happynya! Akhirnya, rasa macam ada benda for me sebab nak guna pelepasan cukai untuk anak tak boleh sebab takda.
“Sekarang ni dah rasa ada benda for me sebab boleh guna pelepasan cukai untuk kucing!” tulisnya sebelum mengakhiri hantaran dengan ungkapan, “I love Malaysia”.
Jawatan tetap
Dalam pembentangan Belanjawan 2027, Anwar mengumumkan lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun depan, menjadikan jumlah pelantikan tetap sejak 2023 melebihi 24,000 orang.
Kerajaan turut menyatakan komitmen menawarkan jawatan tetap kepada doktor yang menamatkan latihan siswazah.
Bagi pelepasan cukai pula, kerajaan mengumumkan peningkatan had pelepasan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain memperluas pelepasan gaya hidup meliputi kos vaksinasi dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, malay_siaku1, turut berkongsi hantaran bertajuk “10 wow factor Belanjawan 2027 versi aku”, dengan menyatakan terdapat beberapa perkara dalam belanjawan berkenaan yang menyentuh kehidupan seharian rakyat.
Reaksi yang dikongsikan itu memperlihatkan bagaimana pengumuman belanjawan boleh membawa makna berbeza kepada setiap individu, daripada harapan terhadap jaminan kerjaya hinggalah manfaat pelepasan cukai dalam kehidupan harian.
Keterujaan yang diluahkan secara spontan di media sosial itu menunjukkan bukan sedikit inisiatif Belanjawan 2027 mendapat sambutan positif dalam kalangan rakyat.
BACA JUGA Ekonomi negara maju, meja makan rakyat mesti berisi, kocek tidak boleh kosong