Heboh pemuda buat ritual bukan Islam, ini penegasan Menteri Agama

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius penularan beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang individu beragama Islam terbabit dalam ritual keagamaan bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata rakaman berkenaan termasuk perlakuan yang dikaitkan dengan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.

Beliau menegaskan tindakan sewajarnya sedang diambil bersama pihak berkuasa bagi membolehkan penelitian dan siasatan lanjut dilaksanakan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dr Zulkifli Hasan

“Kerajaan tegas dalam memelihara kesucian akidah umat Islam dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang pemuda difahamkan berketurunan Melayu mengadakan ritual Thaipusam di kuil Batu Caves.

Rakaman video lain pula memperlihatkan dia turut melakukan ritual pemujaan dewi Jawa atau dewi Pantai Selatan, Nyi Roro Kidul di Cepuri Parangkusumo dekat Yogyakarta.

Individu berkenaan juga difahamkan pengikut Gerakan New Age yang menyeleweng dan bercanggah dengan akidah Islam kerana membawa konsep yang merosakkan pegangan tauhid.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, sebarang tindakan lanjut dibuat berasaskan fakta dan hasil siasatan pihak berautoriti bagi memastikan keadilan serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Beliau turut menegaskan bahawa perkara berkenaan perlu ditangani berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang, tanpa membuat sebarang kesimpulan sebelum proses berkenaan selesai.

BACA JUGA Jalaluddin nafi mahu jatuhkan MB tetapi kemelut Negeri Sembilan masih belum reda