Hanya MB sahaja tadbir Negeri Sembilan, jangan salahkan DAP! – Loke
DAP menafikan penglibatan dalam kemelut politik Negeri Sembilan dan meminta parti itu tidak terus dipersalahkan atas krisis yang sedang berlaku, ketika pentadbiran negeri berdepan ketiadaan barisan Exco.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu kini tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri dan mahu memberi tumpuan kepada khidmat kepada rakyat, bukannya terheret dalam pergolakan politik berkenaan.
“Seperti yang saya katakan, kita fokus kepada kerja kita. Paling penting, saya pesan kepada wakil rakyat yang dipilih, kekal fokus kepada tugas. Pergolakan di Negeri Sembilan ini macam tidak ada kesudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-24 , yang turut dihadiri mantan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi DAP negeri, J. Arul Kumar.
Menurut Loke, krisis berkenaan membabitkan pelbagai aspek dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan DAP, termasuk dakwaan yang dibangkitkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Sudah tentu perkara ini isu yang rumit kerana melibatkan pelbagai aspek, ini di luar tugas kita. Apa yang berlaku hari ini bukan disebabkan kita,” katanya.
Ahli Parlimen Seremban itu turut berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru tiada sebab untuk gabungan itu tidak meneruskan pentadbiran seperti biasa.
Beliau berkata titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya Menteri Besar mengemukakan nama baharu bagi mengisi kekosongan jawatan Exco membuka ruang untuk pentadbiran negeri diteruskan.
“Jadi, sebenarnya tidak ada masalah, mereka boleh memilih orang lain tetapi terpulanglah kepada tindakan mereka, memang sesuatu yang pelik sebuah kerajaan negeri hanya mempunyai seorang Menteri Besar, tiada ahli Exco,” katanya.
Loke memberi amaran bahawa ketiadaan Exco boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran kerana banyak keputusan dan urusan kerajaan negeri perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dalam ucapannya pada konvensyen itu, beliau turut mengingatkan DAP supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan politik yang tidak menentu, selain memperkukuh parti dan mempersiapkan jentera.
Beliau juga memuji rekod pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Aminuddin sepanjang lapan tahun lalu, yang menurutnya tidak dibelenggu skandal rasuah.
Sementara itu, Aminuddin berkata PH Negeri Sembilan menyasarkan untuk menambah kerusi serta merampas semula kerusi Parlimen Tampin pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata sasaran itu memerlukan komitmen berterusan pimpinan dan jentera parti untuk turun padang serta membuktikan keupayaan mereka memperjuangkan kepentingan rakyat.