Dana PUNB melonjak RM500 juta, peluang besar usahawan Bumiputera tembusi industri AI

Daripada semikonduktor hingga kecerdasan buatan (AI), usahawan Bumiputera perlu berani keluar daripada zon selesa dan merebut peluang dalam industri bernilai tinggi susulan peningkatan dana pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) kepada RM500 juta menerusi Belanjawan 2027.

Peningkatan sebanyak RM150 juta daripada RM350 juta sebelum ini dijangka memperkukuh keupayaan PUNB membantu usahawan mengembangkan operasi, meningkatkan daya saing dan menembusi rantaian industri yang menawarkan nilai tambah lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, usahawan Bumiputera kini perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar menjadi pembekal kepada syarikat besar, sebaliknya membina keupayaan untuk menerajui industri melalui inovasi dan automasi.

“Usahawan Bumiputera hari ini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh bukan sekadar sebagai pembekal tetapi sebagai peneraju industri yang memacu inovasi dan automasi bertaraf global.

“Tanggungjawab PUNB adalah untuk memastikan mereka mendapat sokongan setimpal dengan cita-cita tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Izwan, PUNB akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan bantuan kepada usahawan diselaraskan dan memberi kesan lebih berkesan.

Katanya, peningkatan dana pembiayaan itu turut mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap keupayaan PUNB melaksanakan mandat pembangunan usahawan Bumiputera.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini menyatakan kesediaan mempertimbangkan peningkatan pembiayaan ketika Majlis Perasmian SPark 2026, tertakluk kepada prestasi dan keberkesanan pelaksanaan program PUNB.

Izwan menegaskan PUNB akan melaksanakan amanah itu dengan penuh integriti, selain memastikan pengurusan pembiayaan berlandaskan tadbir urus yang baik dan telus.

Peluang berkenaan turut selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35), yang antara matlamatnya ialah memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi berpotensi tinggi.

Antara sektor yang diberi penekanan menerusi Belanjawan 2027 ialah semikonduktor, AI, tenaga baharu dan industri bernilai tinggi yang berpotensi membuka ruang kepada syarikat Bumiputera untuk berkembang serta meningkatkan kedudukan dalam rantaian bekalan.

Bagi memperluas akses pembiayaan, PUNB turut menyusun semula skim perniagaannya tahun ini menerusi PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA.

Tiga produk baharu turut diperkenalkan di bawah PROSPER GROW, iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ bagi memenuhi keperluan pembiayaan usahawan pada pelbagai peringkat perniagaan.

PUNB akan terus menyokong aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selain memperincikan inisiatif bersesuaian dengan Belanjawan 2027 dari semasa ke semasa.

Dengan dana yang lebih besar, cabaran seterusnya ialah memastikan pembiayaan itu bukan sekadar menambah jumlah penerima bantuan, tetapi turut melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera yang mampu berinovasi, menguasai teknologi dan bersaing dalam industri bernilai tinggi.

BACA JUGA Siti Zailah cedera kemalangan di Kuala Lipis, Anwar titip doa