Nik Abduh terus pertahan Eric yang dikecam isu ‘lighad’, anggap tiada niat hina al-Quran
Senator Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz terus mempertahankan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To.
Padahal, cytro BN itu teruk dikecam banyak pihak kerana mempersenda al-Quran selepas mengaitkan ungkapan ‘lighad’ dengan perkataan ‘liwat’.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok itu berpendapat orang ramai perlu berlaku adil terhadap Eric dengan mengambil kira niat sebenar di sebalik sindiran politik yang dibuat Eric.
Anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata, berdasarkan penjelasan Eric, bekas pegawai kanan BN itu tidak menyedari bahawa istilah ‘lighad’ yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mempunyai kaitan dengan ayat al-Quran.
“Semua orang tahu dia (See-To) nak bergurau, sindiran politik. Tanpa dia sedar, itulah yang perlu kita pegang (simpulkan) – bahawa dia tidak berniat langsung (menghina).
“So, kita jangan menzalimi dia,” katanya dalam satu slot audio siar yang dikongsi di media sosial.
Nik Abduh berkata, dari sudut bahasa Arab, ungkapan ‘lighad’ berasal daripada gabungan ‘li’ dan ‘ghad’ yang membawa maksud untuk hari esok atau masa hadapan.
Bagaimanapun, katanya, apabila ungkapan itu ditulis sebagai satu perkataan dalam tulisan rumi, ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat umum, khususnya mereka yang tidak memahami bahasa Arab.
Mempersenda Islam
Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata, dia tidak mengetahui sebarang rekod Eric mempersenda Islam.
Oleh itu, tegasnya, seseorang tidak sewajarnya dihukum secara semberono tanpa mempertimbangkan kejahilan atau niat sebenar.
Nik Abduh turut mengaitkan pendiriannya dengan prinsip Islam mengenai kesalahan yang dilakukan akibat kejahilan atau tanpa niat yang disengajakan.
“Allah Ta’ala mengangkat kesalahan (seseorang Muslim) dengan sebab (melakukan sesuatu akibat) kejahilan, dengan sebab tak tahu, niat lain. Itu ada dalam al-Quran,” katanya.
Bagaimanapun, pendirian Nik Abduh berbeza daripada gesaan Pemuda Umno yang menuntut Eric bertanggungjawab terhadap kenyataannya kerana menganggap sensitiviti agama tidak seharusnya dijadikan bahan persendaan dalam pertikaian politik.
Eric juga sebelum ini telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi diambil keterangan berhubung hantaran yang mengaitkan ‘lighad’ dengan ‘liwat’ itu.
Kes membabitkan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) i itu kemudian dirujuk ke Bukit Aman dan Eric dibebaskan atas jaminan polis.
Perkataan ‘lighad’ yang digunakan itu merujuk kepada esok atau masa hadapan, dipetik daripada Surah al-Hasyr ayat 18.