Anwar bukan Hadi atau Nik Aziz, kesungguhan Nik Abduh pertahan Eric See-To dipersoal
Oleh MUHAMMAD FAIRUL QASAS
Dalam satu podcast, Nik Abduh mengatakan bahawa PMX Anwar Ibrahim tersilap dalam mentafsirkan lighad sebagai hari esok yang merujuk kepada masa depan, lalu menggunakan lighad untuk menggambarkan masa depan generasi akan datang.
Maka, PMX Anwar Ibrahim mengistilahkan lighad sebagai satu falsafah perancangan untuk generasi akan datang dalam ucapan Belanjawan beliau.
Sedangkan, kata Nik Abduh, lighad itu merujuk kepada hari esok yang, menurut dakwaan beliau, telah disepakati oleh ijmak ulama sebagai merujuk kepada hari akhirat.
Pendekatan PMX Anwar Ibrahim
Sebenarnya, inilah yang gagal difahami oleh Nik Abduh.
Anwar Ibrahim adalah Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim bukan Nik Aziz atau Hadi Awang.
Kalau kita lihat ketika Anwar Ibrahim memperkenalkan Masyarakat Madani semasa era beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, kemudian skrip menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, dan seterusnya Malaysia MADANI setelah menjadi Perdana Menteri, Anwar membawa akar Islam tetapi kemudiannya menghuraikannya mengikut keperluan dan kefahaman yang lebih sesuai dengan masyarakat majmuk Malaysia.

Anwar Ibrahim menegaskan bahawa MADANI itu berakar daripada Madinah, kota pertama Islam, sebelum konsep tersebut diterjemahkan kepada pembentukan bandar dan tamadun.
Namun, Anwar Ibrahim tidak menghuraikan setiap teras MADANI dengan dalil al-Quran dan hadis. Beliau tidak menjadikan Malaysia MADANI sebagai sebuah teks agama.
Sebaliknya, beliau menggunakan nilai-nilai sejagat yang mudah diterima oleh golongan sasar, iaitu seluruh rakyat Malaysia secara khususnya.
Berbeza dengan Nik Aziz yang pernah popular dengan politik dosa dan pahala.
Nik Aziz ialah Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan, sebuah negeri yang majoriti penduduknya beragama Islam. Ucapan beliau sesuai dengan komuniti yang dipimpinnya.
Hadi Awang pula sarat dengan dalil dalam setiap penulisan beliau, tanpa mengira sama ada kaum-kaum lain membacanya atau tidak.
Malah, dalam kalangan umat Islam sendiri pun, ramai yang tidak memahami apa yang beliau tuliskan.
Anwar Ibrahim sedar bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum yang merangkumi dua wilayah besar, iaitu Semenanjung Malaysia dan Borneo.
Anwar tidak sesekali melupakan asal usul dan akar perjuangan Islam serta Melayu. Beliau sentiasa mengangkat Islam dan Melayu melalui ucapan dan tindakan beliau.
Namun, beliau tidak melampau. Walaupun beliau kekal istiqamah dengan baju Melayu berwarna biru cair, bersongkok dan bercapal, beliau tidak pernah merendahkan adat mana-mana kaum atau agama.
Anwar Ibrahim sengaja tidak menghuraikan soal lighad atau lighadin yang membawa makna hari esok dalam konteks akhirat. Bukan beliau tidak sedar, apatah lagi tidak tahu. Beliau sedar, tetapi menyesuaikan penyampaiannya dengan persekitaran.
Persekitaran yang dimaksudkan ialah khalayak dan golongan sasaran beliau, iaitu rakyat Malaysia yang berbilang kaum dari kedua-dua wilayah tersebut.
Maka, Anwar menjelaskan lighad sebagai hari esok dalam konteks belanjawan negara untuk generasi akan datang.
Ini merupakan satu konsep yang lebih mudah difahami oleh semua rakyat yang mendengar dan membaca pembentangan belanjawan tersebut.
Pada pandangan saya, Anwar Ibrahim telah mengambil langkah yang perlu untuk mengangkat Islam dan Melayu di negara ini.
Beliau memperkenalkan program Hadis 40 di sekolah, Minggu Kesedaran Palestin, program keagamaan seperti Sama’ Hadith dan sebagainya.
Pada pandangan saya, tidak ada pemimpin lain di Malaysia yang dapat menandingi PMX Anwar Ibrahim dari segi keluasan program keagamaan yang dibawa oleh beliau.
Sepatutnya, umat Islam dan orang Melayu menyambut baik usaha ini. Gunakan kesempatan yang ada untuk melaksanakan lebih banyak program seumpamanya.
Gunakanlah kesempatan melalui program Kerajaan MADANI untuk mempergiat lagi program berkaitan Islam.
Bagi bukan Islam, cukuplah mereka memahami MADANI secara literal, iaitu usaha membentuk sebuah negara yang maju dan bertamadun dari segi pemikiran serta pembangunan fizikal, berlandaskan nilai-nilai yang telah digariskan.
Begitu juga dengan lighad. Kita sebagai umat Islam mengambil maknanya dalam konteks akhirat kerana akhirnya kita semua akan sampai ke sana.
Perkara-perkara baik yang dilakukan oleh PMX, seperti memberikan SARA, menaikkan gaji minimum serta menyelesaikan masalah air dan banjir di Kelantan, semuanya membawa kebaikan dan berpotensi menjadi pahala di sisi Allah. Usaha-usaha tersebut juga baik untuk akhirat beliau.
Namun, bagi bukan Islam, cukuplah mereka memahami lighad sebagaimana yang dijelaskan oleh PMX, iaitu perancangan untuk hari esok dan persediaan bagi generasi akan datang. Mudah.
Menegur dan mengingatkan
Mengapa Nik Abduh begitu bersungguh-sungguh menyokong Lim Sian See sehingga mahu menonjolkan sedikit kesilapan tajwid dan menekankan soal tafsir.

Walhal, PMX sendiri tidak menyebut bahawa beliau sedang membuat tafsiran agama? Sebaliknya, beliau sedang membawa gagasan tersebut dalam konteks belanjawan negara.
Sepatutnya, tanpa mengira parti politik mana yang disokong, apabila ada individu bukan Islam yang tidak memahami lalu mempersendakan perkataan daripada al-Quran, kita perlu menegur dan mengingatkan mereka bahawa perkara tersebut menyentuh sesuatu yang perlu dihormati.
Sepatutnya, Nik Abduh memberitahu Lim Sian See bahawa perkataan tersebut berasal daripada al-Quran dan dibacakan oleh PMX dalam pembentangan belanjawan.
Oleh itu, perkataan tersebut tidak sepatutnya dipersendakan.
Bukannya mempertahankan perbuatan mempersendakan itu. Bukannya menggalakkannya. Dan bukannya mengambil kesempatan untuk mencari segala kesalahan PMX.
Semoga PMX Anwar Ibrahim sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah SWT.
“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, serta yang kamu doakan dan mereka mendoakan kamu…” – Hadis Riwayat Muslim
BACA JUGA Suspek dakwa petugas lapangan terbang disogok untuk lepaskan mereka tanpa periksa