‘Pas bersendikan fitnah’, AMANAH bidas Hadi yang masih main sentimen DAP walau semasa bahas Belanjawan 2027

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil membidas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang terus membangkitkan sentimen DAP ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Faiz, dakwaan Abdul Hadi bahawa Pakatan Harapan (PH) bersendikan DAP tidak mempunyai bukti atau justifikasi kukuh. Malah, beliau menyifatkan Pas sebaliknya sebagai parti yang bersendikan fitnah.

“Kalau PH dituduh bersendikan DAP, Pas pula bersendikan fitnah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Faiz mempersoalkan bagaimana DAP boleh dikatakan mendominasi PH atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan parti itu hanya mempunyai empat menteri penuh, iaitu 12.5 peratus daripada keseluruhan anggota Kabinet.

“Jelas, ucapan tersebut menunjukkan sikap Pas yang tidak bertamadun sehinggakan perbahasan Belanjawan pun masih dibangkitkan isu sentimen DAP ini,” tegasnya.

Beliau turut kesal apabila perbahasan Belanjawan 2027 yang sepatutnya memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat masih digunakan untuk membangkitkan sentimen politik berkaitan DAP.

Sebaliknya, kata Faiz, Belanjawan 2027 memperlihatkan pelbagai bantuan kepada rakyat, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM150 sebulan, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 serta elaun sara hidup RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam.

Malah, kerajaan turut meningkatkan peruntukan hal ehwal Islam kepada RM3.1 bilion bagi 2027 berbanding RM2.6 bilion tahun sebelumnya.

Gagal melupakan

Faiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, semua inisiatif itu dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI yang turut dianggotai DAP.

Justeru, beliau mempersoalkan alasan Pas terus menggambarkan pengaruh DAP sebagai sesuatu yang mengancam kepentingan rakyat dan Islam.

“Dengan bertambahnya peruntukan dan bantuan ini, tidak pula dituduh ianya sesuatu yang merugikan rakyat dan Islam sedangkan Pas sedar bahawa DAP adalah sebahagian daripada Kerajaan MADANI yang meluluskan Belanjawan, yang didakwa Pas sebagai sendi PH?

“Maka, ucapan yang mengatakan DAP adalah sendi PH adalah fitnah,” hujah bekas ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang berkenaan.

Dalam pada itu, Faiz menyindir Pas yang masih gagal melupakan DAP meskipun kedua-dua parti telah berpisah sejak 2015, iaitu 11 tahun lalu.

Katanya, ketika perpisahan tersebut, Pas pernah mendakwa DAP menghalang usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 serta pelaksanaan hudud.

Namun, beliau mendakwa kedua-dua isu itu tidak lagi menjadi agenda utama perjuangan Pas, sedangkan DAP terus dijadikan sasaran dalam perbahasan politik parti berkenaan.

“Sebab itu, saya merasakan Pas masih tidak boleh ‘move on’,” kata anak bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor itu lagi.

BACA JUGA Bila PMX sakan dikecam, bila Pas dipersoal 36 tahun, muncul dalil ‘kita bukan Nabi’