Bukan sekadar tahu lokasi, sejarah perjalanan 7.6 juta pengguna Waze didakwa terdedah

Bukan sekadar mengetahui lokasi semasa, malah sejarah perjalanan pengguna aplikasi navigasi Waze juga didakwa berisiko terdedah kepada penjenayah siber susulan laporan mengenai penjualan lebih 7.6 juta rekod pengguna di pasaran web gelap.

Pendedahan itu dibuat syarikat teknologi keselamatan siber, ClearPhish, yang mendakwa pangkalan data berkenaan mengandungi pelbagai maklumat sensitif pengguna aplikasi popular tersebut.

Antara maklumat yang didakwa terdedah ialah nama pengguna, pengecam pengguna unik (ID unik), data lokasi sistem kedudukan sejagat (GPS) serta sejarah perjalanan mereka.

Lebih membimbangkan, maklumat itu didakwa diiklankan untuk dijual oleh individu yang mengaku mencurinya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan dan privasi pengguna Waze.

Menurut ClearPhish, sekiranya kesahihan data itu dibuktikan, maklumat berkenaan berpotensi disalahgunakan untuk menjejaki pergerakan individu, mengenal pasti rutin harian serta merancang serangan bersasar.

Ini bermakna pihak tidak bertanggungjawab berkemungkinan dapat mengenal pasti lokasi yang kerap dikunjungi seseorang, termasuk corak perjalanan hariannya, sekiranya data berkenaan benar-benar mengandungi maklumat tersebut.

Malah, penggunaan ID unik bersama data GPS turut dikhuatiri membuka ruang kepada kegiatan penyamaran identiti dan pemantauan pergerakan tanpa pengetahuan pengguna.

Dalam pada itu, laporan ClearPhish turut mengimbas penemuan penyelidik keselamatan siber, Peter Gasper, yang sebelum ini dilaporkan mengenal pasti kelemahan pada antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) Waze.

Kelemahan berkenaan dikatakan berpotensi dieksploitasi untuk menjejaki pergerakan pengguna secara masa nyata. Bagaimanapun, Google dilaporkan telah membaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti itu.

BACA JUGA Fungsi TuJu terganggu sementara sehari selepas PM saran guna, ini penjelasan LLM