‘Play victim’ siap ada lagu latar ala ‘Bersamamu’, KP Umno tampil berkopiah jual motor bayar saman RM300,000
Gelagat Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menjual motosikal kesayangannya bagi menampung kos saman RM300,000 bertukar menjadi bahan sindiran netizen apabila video hebahan mengenai jualan itu diiringi muzik latar sedih.
Lebih mencuit hati, muzik berkenaan membuatkan sebahagian netizen mengaitkan dengan program kebajikan popular TV3, ‘Bersamamu’, yang sering memaparkan kisah kesusahan hidup masyarakat.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dilihat memakai kopiah sambil berdiri bersebelahan motosikal Honda X-ADV miliknya.
“XADV kesayangan saya untuk dijual untuk menampung sebahagian kos saman,” tulisnya sambil menyenaraikan pelbagai aksesori motosikal Honda X-ADV V2 keluaran 2024 itu.
Namun, bukannya spesifikasi motosikal yang menjadi tumpuan sebahagian pengguna media sosial.
Sebaliknya, muzik latar sedih dan gaya penyampaian video tersebut mengundang reaksi sinis orang ramai.
“Play victim siap ada lagu,” sindir seorang pengguna Facebook, Nasri Azhar, menerusi komen yang menerima 105 tanda suka setakat ini.
Seorang lagi pengguna, Tuanfaiz Shafirhan, mengakui muzik latar video berkenaan mengingatkannya kepada rancangan Bersamamu.
“Saya dengar muzik latar sambil pejam mata rasa macam tengok Bersamamu la YB .. sedih sangat muziknya,” tulisnya berserta emoji ketawa.
Tidak ketinggalan, Husin Jaapar turut mengusik penampilan Akmal yang berkopiah dalam video tersebut.
“Macam rancangan Bersamamu.. suara sedih plus kopiah atas kepala tetiba… fuhhh,” sinisnya.
Berhati-hati
Dalam masa sama, ada juga yang mengambil kesempatan mengingatkan Akmal supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan terhadap pihak lain.
“Lain kali beringat…” tulis Ahmad Shukri Hassan berserta emoji ketawa.
Sementara itu, Azam A Razak pula memberikan reaksi lebih panjang dengan mengingatkan kepentingan melakukan tabayyun sebelum mengulas atau menyebarkan sesuatu perkara.
Beliau turut mengaitkan keputusan saman tersebut dengan keperluan mengawal emosi serta mengelakkan kenyataan yang boleh menimbulkan kesan undang-undang.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Melaka pada 19 Oktober lalu memerintahkan Akmal membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos guaman RM50,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan pemimpin DAP itu.
Kes berkenaan berpunca daripada kenyataan Akmal menerusi video media sosial pada September 2024 susulan pertikaian mengenai isu pensijilan halal.
Akmal kemudian menawarkan motosikal Honda X-ADV serta ikan tilapia ternakannya untuk dijual bagi mendapatkan wang menjelaskan bayaran berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan menerima sumbangan sebanyak RM45,102.18 daripada orang ramai sebelum meminta pemberian itu dihentikan kerana mahu mengusahakan penjualan aset sendiri terlebih dahulu.
BACA JUGA Kerajaan MADANI berjaya bendung ketirisan subsidi diesel, penggunaan di Sabah turun 10 peratus