Komiten Kerajaan MADANI, selamatkan RM9.6 juta wang scam 

Lebih RM125 juta lesap akibat penipuan dalam talian dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, meskipun tindakan pantas kerajaan berjaya menyelamatkan dan menyita kira-kira RM9.6 juta wang berkaitan jenayah berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berjaya menyelamatkan RM4.07 juta melalui sekatan transaksi atau earmark, manakala RM5.54 juta lagi disita antara Januari hingga April lalu.

Daripada wang yang disita itu, sebanyak RM2.57 juta atau 46.42 peratus sudah dipulangkan kepada mangsa.

Menurutnya, tindakan pantas dilaksanakan bersama institusi kewangan bagi mengesan aliran wang dan menyekat transaksi sebaik sahaja laporan penipuan diterima.

Angka itu bagaimanapun menunjukkan cabaran besar yang masih dihadapi dalam membendung jenayah penipuan dalam talian, apabila jumlah kerugian yang direkodkan jauh lebih tinggi berbanding wang yang berjaya diselamatkan dan dipulihkan.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Khamis, Saifuddin berkata NSRC menerima 5,944 laporan menerusi talian perkhidmatannya dalam tempoh berkenaan.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nadzri Abu Hassan, yang meminta penjelasan mengenai punca dan jenis utama penipuan dalam talian, jumlah kerugian dilaporkan serta wang mangsa yang berjaya disekat atau dipulihkan.

Menurut Saifuddin, penipuan e-belian merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 2,405 kes, diikuti jenayah telekomunikasi sebanyak 1,026 kes dan pinjaman tidak wujud sebanyak 894 kes.

Beliau berkata peningkatan kegiatan itu didorong taktik penjenayah yang sentiasa berubah dan semakin canggih, termasuk mengeksploitasi teknologi digital serta menggunakan identiti palsu untuk memperdaya mangsa.

Penjenayah turut memanfaatkan media sosial, aplikasi komunikasi dan pelbagai platform digital untuk mendekati sasaran melalui tawaran yang kelihatan sah dan meyakinkan.

Selain itu, teknik manipulasi psikologi atau social engineering digunakan untuk mengeksploitasi kepercayaan, emosi dan kecuaian mangsa, termasuk keinginan mendapatkan keuntungan atau pulangan besar dalam tempoh singkat.

Saifuddin berkata kegiatan sindiket rentas sempadan, termasuk yang beroperasi dari luar negara serta menggunakan akaun dan infrastruktur digital merentasi pelbagai bidang kuasa, turut menyukarkan usaha membanteras jenayah berkenaan.

Bagi menangani masalah itu, kerajaan melalui NSRC akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan dan institusi kewangan bagi mempercepat tindak balas terhadap laporan penipuan.

Katanya, usaha itu bertujuan menyekat aliran wang hasil kegiatan jenayah, meningkatkan peluang pemulihan wang mangsa serta memperkukuh tindakan terhadap sindiket yang terbabit.

Walaupun berjaya menyelamatkan dan menyita jutaan ringgit, jumlah kerugian RM125.29 juta yang direkodkan dalam tempoh empat bulan itu memperlihatkan betapa besarnya cabaran untuk memastikan wang mangsa tidak terus mengalir ke tangan penjenayah.

BACA JUGA Penyatuan ummah atau penyatuan pengundi? Sindir  profesor kepada Akmal