Guru diserang ketika siaran langsung di Facebook, Fahmi minta MCMC siasat kelemahan platform
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat bagaimana insiden serangan terhadap seorang guru di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak, baru-baru ini boleh disiarkan secara langsung di Facebook tanpa disekat lebih awal.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata siasatan itu bertujuan meneliti kegagalan platform berkenaan mengesan atau menyekat siaran langsung yang memaparkan kejadian keganasan tersebut.
Menurutnya, kerajaan memandang serius insiden itu, lebih-lebih lagi apabila kejadian seumpamanya pernah berlaku di negara lain dan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan platform digital mengesan serta menyekat kandungan berbahaya dengan pantas.
“Waktu ini pihak MCMC sedang melakukan siasatan berkaitan isu ini. Kalau kita ingat sebelum ini, ada di beberapa negara lain yang platform gagal menghalang penstriman langsung tindakan keganasan,” katanya pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.
Pada 21 Oktober lalu, seorang guru wanita cedera dipercayai diserang seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat menggunakan kapak di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching.
Polis mengesahkan pelajar berusia 16 tahun itu menyiarkan kejadian berkenaan secara langsung. Rakaman insiden yang tersebar di media sosial kemudiannya dilaporkan telah diturunkan oleh MCMC.
Fahmi berkata, pihaknya menyerahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan dan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan sebarang tindakan khusus terhadap Meta, syarikat induk Facebook, sebaliknya membiarkan MCMC melengkapkan siasatan terlebih dahulu.
Pada 22 Oktober lalu, MCMC menggesa orang ramai, termasuk pengamal media, supaya memadamkan rakaman kejadian itu dan menghentikan penyebarannya.
Menurut suruhanjaya itu, penyebaran rakaman keganasan yang membabitkan kanak-kanak boleh menjejaskan privasi, maruah dan kesejahteraan emosi individu yang terlibat serta keluarga mereka.
MCMC turut mengingatkan bahawa pendedahan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Selain itu, penyebaran kandungan tertentu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya memenuhi unsur kesalahan yang ditetapkan dalam peruntukan berkenaan.
Siasatan itu turut menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab platform digital dalam memastikan kandungan yang memaparkan keganasan dapat dikesan dan disekat dengan segera.
Selain tindakan menurunkan rakaman selepas kejadian, keupayaan platform mengesan serta menghentikan siaran berbahaya ketika ia sedang berlangsung juga menjadi perhatian, khususnya apabila kandungan berkenaan melibatkan keganasan dan kanak-kanak.
BACA JUGA DUN Sarawak bubar 26 Oktober, PRN dalam tempoh 60 hari