Kota Kinabalu progresif : Pelaburan digital RM300 juta MCMC tingkat keselatamatan awam, sektor pelancongan
Pelaburan infrastruktur digital bernilai kira-kira RM300 juta oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal mengubah wajah Kota Kinabalu menjadi bandar raya pintar yang lebih moden, selamat dan mesra pelancong.
Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu itu dilaksanakan melalui kerjasama MCMC dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menggunakan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP). Pelaksanaannya bermula pada 6 Ogos 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari 2028.
Inisiatif berkenaan bukan sekadar memperluas capaian Internet, malah bertujuan memperkukuh keselamatan awam, melancarkan pengurusan trafik dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bandar. Pada masa sama, kemudahan digital yang lebih baik dijangka memberi manfaat kepada sektor perniagaan dan industri pelancongan di ibu negeri Sabah itu.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, projek berkenaan melibatkan pembinaan rangkaian gentian optik sepanjang 358 kilometer, merangkumi 50 kilometer rangkaian teras dan 308 kilometer rangkaian sambungan akhir. Kemudahan Wi-Fi awam turut disediakan bagi meningkatkan kesalinghubungan digital penduduk dan pengunjung.
Selain itu, sebanyak 822 tiang pintar dan tiang pelbagai guna akan dibangunkan, manakala 1,696 kamera litar tertutup (CCTV) dirancang dipasang di seluruh kawasan pentadbiran DBKK. Sistem tersebut membolehkan pemantauan keselamatan, keadaan jalan raya dan kecemasan dilakukan secara masa nyata.
“Jadi, fungsi bandar pintar ini adalah untuk mengumpulkan data masa nyata melalui pemasangan CCTV,” kata Teo ketika meninjau tapak pembangunan Pusat Kawalan Operasi Rangkaian (NOCC) di Kota Kinabalu.
Menurutnya, maklumat berkenaan membolehkan pihak berkuasa membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat.
Menariknya, NOCC akan ditempatkan di bangunan bekas Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, sekali gus memberikan fungsi baharu kepada bangunan bersejarah itu. Sebuah pusat data berkapasiti 120 kilowatt, dengan tambahan kapasiti simpanan 30 kilowatt, turut dibangunkan bagi menyokong operasi sistem bandar pintar.
Terdahulu, pada 10 Ogos, syarikat ITMAX System Bhd menerima kelulusan MCMC sebagai penyedia perkhidmatan sejagat bagi komponen projek bernilai RM134.3 juta. Nilai kontrak itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan infrastruktur digital bandar pintar, manakala RM300 juta merujuk anggaran nilai keseluruhan inisiatif berkenaan.
ITMAX bertanggungjawab terhadap kerja mereka bentuk, membekal, memasang, mengintegrasikan, menguji serta menyelenggara sistem pintar dan pusat kawalan operasi. Projek itu melibatkan tempoh pelaksanaan sehingga 24 bulan, diikuti operasi selama lima tahun sebelum kemudahan diserahkan kepada DBKK.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun, menerusi kenyataan yang dilaporkan pada 21 Ogos lalu berkata pembangunan infrastruktur pintar berpotensi menjadikan Kota Kinabalu lebih selamat dan cekap. Beliau turut berpandangan bahawa sistem digital bersepadu mampu menyokong pertumbuhan ekonomi pelancongan secara mampan.
Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, sebelum ini turut menegaskan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital dalam pentadbiran bandar. Pada Julai lalu, beliau menjelaskan bahawa penggunaan CCTV pintar dan pusat kawalan bersepadu dapat membantu DBKK memantau kejadian jenayah, mengurus kesesakan trafik serta mengesan kerosakan kemudahan awam dengan lebih berkesan.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin pula menyifatkan projek tersebut sebagai langkah penting ke arah mewujudkan bandar raya yang lebih moden, selamat dan berdaya saing.
Dengan pelaksanaan infrastruktur digital bersepadu ini, Kota Kinabalu dijangka dapat memperkukuh keselamatan penduduk serta pengunjung, di samping menyokong perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
BACA JUGA Bulan Rakan Demokrasi dilancar, KBS perkasa literasi politik dan kepimpinan belia