‘Guna agama, bangsa untuk kuasa’, ramai ‘petik’ Akmal dan Hadi bila ditanya siapa ‘demagog’

Siapakah pemimpin politik di Malaysia yang gemar menggunakan ketakutan, membakar sentimen kaum dan agama serta mempermainkan emosi rakyat demi mendapatkan kuasa?

Persoalan yang dibangkitkan penganalisis politik, Liyana Marzuki, di Facebook itu mengundang pelbagai reaksi apabila sejumlah netizen menamakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam jawapan mereka.

Menariknya, Liyana langsung tidak menyebut nama mana-mana pemimpin politik tempatan, sebaliknya hanya memperkenalkan istilah ‘demagog’ sebelum meminta orang ramai memberikan pandangan masing-masing.

“DEMAGOG. Maknanya pemimpin yang guna ketakutan, bakar sentimen kaum/agama dan permain emosi rakyat untuk kuasa.

“Contoh: Trump & Netanyahu. Di Malaysia siapa?” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Pertanyaan ringkas itu mencetuskan perbincangan hangat di ruangan komen, dengan rata-rata netizen secara terbuka mengaitkan istilah berkenaan dengan pemimpin Umno dan Pas.

Kegagalan

Seorang pengguna, Zulkepli Samuri, memberikan jawapan ringkas “Akemal”, manakala Abe Ja pula menulis “Hadi dan Akmal”.

Rahimah ZA pula menamakan “Haji Hadi”, sementara Jim Ahmad menyebut “Pemimpin-pemimpin Pas dan BN”.

Begitu juga, Khairul Didie yang berpendapat bahawa terdapat pemimpin Umno dan Pas yang banyak memainkan sentimen serta naratif seumpama itu.

Malah, seorang pengguna Facebook dengan nama Amir Hamzah Khalid turut menyenaraikan “Pas, Umno, BN, Bersatu” sekaligus memperlihatkan kritikan dalam perbincangan tersebut tidak hanya tertumpu kepada dua individu.

Dalam masa sama, Jasrizal Jasmin mengaitkan permainan sentimen kaum dan agama dengan kegagalan sesetengah pemimpin memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat.

Akmal dan Hadi walaupun dari latar generasi dan parti berbeza tapi dilihat umum sebagai ahli politik yang menggunakan sentimen kaum dan agama dalam meraih sokongan undi.

Menurutnya, pemimpin yang mengutamakan kerja perlu memikirkan soal ekonomi, merangka dasar, membela nasib rakyat, memperkukuh perpaduan dan membangunkan infrastruktur.

“Sebenarnya, pemimpin PEMALAS je suka main isu perkauman/bakar sentimen/agama,” tulisnya sambil mempertikaikan kecenderungan segelintir ahli politik menggunakan isu sedemikian dalam meraih perhatian.

Sementara itu, pengguna bernama Nik Rudy mengingatkan bahawa demagog tidak semestinya dikenal pasti melalui nama seseorang, tetapi boleh dilihat daripada slogan serta pendekatan politik yang digunakan.

Menurutnya, pendekatan itu boleh muncul dalam bentuk slogan bertopengkan agama, laungan bangsa dan dakwaan kononnya hanya kelompok tertentu mampu menyelamatkan masyarakat.

Untuk rekod, menurut Kamus Dewan, demagog merujuk kepada pemimpin politik yang cuba mendapatkan sokongan orang ramai melalui ucapan dan hujah penuh emosi tetapi tidak munasabah atau tidak rasional.

Perbahasan yang tercetus daripada hantaran Liyana itu sekali gus menyentuh persoalan mengenai perbezaan antara usaha menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat dengan penggunaan retorik yang membangkitkan sentimen.

BACA JUGA Empat anak hafal 30 juzuk al-Quran, YB AMANAH ini buktikan kepimpinan bermula di rumah