Anwar petik Hugo, Dostoevsky – Sindiran tentang manusia moden: Maklumat berlambak, tapi makin kurang berfikir?

Manusia hari ini semakin mudah mendapatkan maklumat, namun belum tentu semakin bijaksana apabila budaya membaca, menelaah dan berfikir secara mendalam semakin terhakis dalam arus digital.

Itulah kebimbangan yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian mengenai buku terbaharu James Marriott, The New Dark Ages: The End of Reading and the Dawn of a Post-Literate Society, yang meneliti kemerosotan budaya membaca serta kesannya terhadap pemikiran dan masa depan peradaban.

Perdana Menteri berkata beliau sempat meluangkan masa pada tengah hari tadi untuk menekuni karya berkenaan, yang mengangkat persoalan besar tentang kedangkalan pemikiran dalam masyarakat ketika maklumat semakin mudah diperoleh.

Menurut Anwar, ancaman terhadap peradaban bukan sekadar kehilangan akses kepada ilmu, sebaliknya turut melibatkan kemerosotan minat dan kesabaran untuk membaca, merenung serta berfikir secara kritis dan mendalam.

“Kita mungkin semakin kaya dengan maklumat, namun miskin dan papa dalam kebijaksanaan,” katanya.

Persoalan yang lebih besar, menurut Anwar, bukan sekadar sama ada manusia masih membaca, tetapi sama ada mereka masih mahu berfikir.

Bagi menggambarkan kedudukan ilmu dan kesusasteraan dalam masyarakat, Anwar turut mengimbas pemergian dua tokoh besar dunia sastera, Victor Hugo dan Fyodor Dostoevsky, masing-masing pada 1885 dan 1881.

Beliau menyebut bagaimana pemergian Hugo di Perancis menyaksikan orang ramai membanjiri Paris untuk memberikan penghormatan terakhir kepada penulis Les Misérables itu.

Anwar turut merujuk ribuan rakyat yang mengiringi jenazah Dostoevsky di Saint Petersburg, Rusia, sebagai gambaran penghormatan masyarakat terhadap tokoh sastera dan pemikiran.

Menurutnya, kedua-dua tokoh itu bukan raja atau panglima perang yang diraikan kerana kemenangan di medan pertempuran, sebaliknya penulis yang pemikirannya meresap jauh ke dalam jiwa dan sanubari masyarakat.

Peristiwa berkenaan, katanya, memperlihatkan bagaimana kesusasteraan, tradisi ilmu dan pemikiran pernah mendapat tempat yang tinggi dalam kehidupan masyarakat.

Mengulas kebimbangan yang diketengahkan menerusi buku Marriott itu, Anwar mengingatkan bahawa lambakan maklumat tidak semestinya menjadikan seseorang lebih berilmu atau matang dalam membuat pertimbangan.

Sebaliknya, keupayaan membaca dengan tekun, merenung sesuatu persoalan dan menilai maklumat secara kritis kekal penting dalam membina masyarakat yang berpengetahuan.

Perkongsian itu diakhiri dengan persoalan tentang kesediaan manusia untuk terus berfikir secara mendalam dalam dunia yang semakin dikuasai arus digital.

“Justeru, persoalannya bukan sekadar apakah manusia masih membaca, tetapi apakah manusia masih mahu berfikir,” katanya.

BACA JUGA Projek jalan Sabah, Sarawak batal? Mustapha jawab dakwaan Zahid tak berasas