Hujan lebat hingga 1 pagi ini, penduduk di lima negeri berdepan ribut petir dan dan angin kencang
Penduduk di beberapa kawasan di lima negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan dinasihatkan berwaspada susulan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berterusan sehingga jam 1 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 9.30 malam tadi memaklumkan, lima negeri terbabit ialah Perak, Terengganu, Pahang, Selangor dan Sabah.
Menurut MetMalaysia, di Perak, amaran cuaca buruk melibatkan lapan daerah iaitu Kinta, Kampar, Perak Tengah, Manjung, Bagan Datuk, Muallim, Batang Padang dan Hilir Perak.
Di Terengganu pula, tiga daerah dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat iaitu Kemaman, Dungun dan Marang, manakala di Pahang, amaran tertumpu kepada kawasan Cameron Highlands.
Berwaspada
Sementara itu, bagi Selangor, penduduk di Hulu Selangor dan Sabak Bernam turut dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kemungkinan ribut petir serta angin kencang sepanjang tempoh amaran berkenaan.
Di Sabah, kawasan yang terlibat ialah Tongod, Paitan dan Telupid di bahagian Sandakan, selain Sook di kawasan Pedalaman.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka mengalami keadaan cuaca buruk sehingga awal pagi Jumaat ini.
Jabatan itu menjelaskan, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas jabatan berkenaan.
Keadaan hujan lebat berserta angin kencang boleh meningkatkan risiko kejadian pokok tumbang, gangguan perjalanan serta banjir kilat di kawasan rendah dan lokasi yang mempunyai sistem saliran terhad.
Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir juga dinasihatkan memantau paras air berhampiran kediaman dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya hujan berterusan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial jabatan berkenaan bagi memastikan keselamatan diri serta keluarga sepanjang tempoh cuaca buruk.
BACA JUGA Kemelut dengan istana belum selesai, Belanjawan 2027 Negeri Sembilan pula terancam