Dari anak muda 25 tahun hingga bekas Ketua Menteri, 24 calon PH Melaka siap hadapi penamaan esok

Daripada anak muda berusia 25 tahun sehinggalah bekas Ketua Menteri Melaka, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan gabungan wajah baharu dan pemimpin berpengalaman menerusi 24 calon yang bakal menghadapi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Barisan calon itu terdiri daripada 10 wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), tujuh DAP dan tujuh Parti Amanah Negara (AMANAH), yang akan bertanding di 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Jumlah tersebut meningkat berbanding 21 calon yang diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Oktober lalu, selepas gabungan itu memutuskan untuk menambah penyertaan di tiga lagi kawasan.

Tiga calon tambahan berkenaan ialah Mejar (B) Jaimi Dimon daripada PKR bagi DUN Ayer Limau, manakala Amanah mempertaruhkan Junainah Sahat di Taboh Naning dan Aminuddin Abdul Jalil di Sungai Rambai.

Generasi baharu

Antara calon yang menarik perhatian ialah Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 25, atau lebih dikenali sebagai Mukhlis Mubin, yang membawa cabaran AMANAH di DUN Kuala Linggi.

Graduan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu merupakan antara wajah muda yang diketengahkan PH dalam usaha membawa penyertaan generasi baharu ke pentas politik negeri.

Pada masa sama, PH turut mengekalkan tokoh berpengalaman termasuk Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari yang pernah menerajui pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil, yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021.

Empat lagi penyandang yang dikekalkan ialah wakil DAP, Kerk Chee Yee di Ayer Keroh, Allex Seah Shoo Chin di Kesidang, Low Chee Leong di Kota Laksamana dan Leng Chau Yen di Bandar Hilir.

Sebelum penambahan tiga calon terbaharu, Adly memaklumkan bahawa daripada 21 nama yang diumumkan pada 24 Oktober, seramai 13 merupakan muka baharu yang belum pernah bertanding, lima penyandang dikekalkan dan tiga lagi pernah menyertai pilihan raya sebelum ini.

Turut membuat kemunculan semula ialah bekas ADUN Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin daripada PKR, yang kembali bertanding di kawasan tersebut.

Mencabar penyandang

Kepelbagaian latar belakang calon turut dapat dilihat menerusi pencalonan bekas pegawai tentera, termasuk Jaimi Dimon di Ayer Limau dan Kapten (B) Mohamad Jaafar yang membawa cabaran AMANAH di Telok Mas.

PH juga mengetengahkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin bagi kerusi Paya Rumput, manakala Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat dicalonkan di Durian Tunggal.

Penyertaan wanita turut diberi perhatian apabila enam calon diketengahkan, iaitu Ginie Lim, Farzana Hayani Mohd Nasir, Leng Chau Yen, Esma Eazreen Husin, Junainah Sahat dan Rahayu Hamzah.

Rahayu atau lebih dikenali sebagai Ayu bakal mencabar penyandang Merlimau yang juga Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dalam salah satu pertandingan yang dijangka mendapat perhatian pada PRN kali ini.

Sementara itu, di Tanjung Bidara, calon PKR Mohd Yunazri Mustamiri dijangka berdepan penyandang yang juga Ketua Menteri Melaka sebelum pembubaran DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dengan pertambahan kepada 24 calon, PH tidak meletakkan wakil di empat kerusi iaitu Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor dan Bemban.

Pada PRN Melaka 2021, PH hanya memenangi lima kerusi, masing-masing empat menerusi DAP dan satu AMANAH, manakala PKR gagal memperoleh sebarang kerusi.

BN ketika itu menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN dan membentuk kerajaan negeri, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi baki dua kerusi.

Demi masa depan

Ketika mengumumkan senarai awal calon PH pada 24 Oktober lalu, Anwar menyeru rakyat Melaka supaya membawa perubahan demi masa depan negeri serta generasi akan datang.

“Saya harap semangat orang Melaka luar biasa untuk bawa perubahan untuk masa depan kita, anak-anak kita, ibu bapa kita dan keluarga kita,” katanya.

Esok, semua bakal calon dijadual mengemukakan kertas pencalonan masing-masing di pusat penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bermula jam 9 hingga 10 pagi.

SPR menetapkan 10 November sebagai hari pengundian awal, manakala pengundian biasa berlangsung pada 14 November, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Keputusan pengesahan calon selepas proses penamaan esok akan menentukan senarai rasmi peserta pilihan raya serta bentuk pertandingan bagi merebut 28 kerusi DUN Melaka.

BACA JUGA ‘Harap asah pedangnya tak lama’, Nik Abduh gembira makan bersama Eric See-To