Pernah ditidurkan akibat komplikasi penyakit, Adun Pas Wan Badariah meninggal dunia

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer dari Pas, Wan Badariah Wan Saad, yang pernah ditidurkan akibat komplikasi penyakit tiroid lebih dua tahun lalu, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di Kangar, petang ini.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.26 petang, sekali gus meninggalkan kekosongan kerusi DUN Mata Ayer yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Berita pemergian bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis itu disahkan Ketua Penerangan Pas Perlis, Mohamad Zahid Ibrahim menerusi hantaran di Facebook rasmi Pas negeri hari ini.

“Dukacita dimaklumkan bahawa YB Wan Badariah Wan Saad, ADUN Mata Ayer telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 31 Oktober 2026, jam 4.26 petang di HTF, Kangar.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Pemergian Wan Badariah pada usia 50 tahun itu turut mengimbau kembali episod masalah kesihatan serius yang pernah dihadapinya pada Mei 2024 apabila ditidurkan ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Terpaksa berehat

Ketika itu, bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memaklumkan bahawa Wan Badariah mengalami masalah kesihatan berpunca daripada penyakit tiroid sebelum dikesan mengalami komplikasi jantung dan paru-paru berair.

Beliau yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis terpaksa berehat daripada menjalankan tugas rasmi bagi memberikan tumpuan kepada rawatan dan pemulihan.

Bagaimanapun, pada penghujung Mei 2024, keadaan kesihatannya dilaporkan semakin baik apabila beliau kembali sedar dan menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan intensif.

Ibu kepada tiga anak itu kemudiannya dilaporkan kembali menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan tanggungjawab dalam pentadbiran negeri selepas tahap kesihatannya bertambah baik.

Wan Badariah yang merupakan seorang peguam berasal dari Padang Siding, Arau turut mencatat sejarah sebagai calon wanita pertama yang dinamakan Pas Perlis untuk bertanding kerusi DUN pada PRU15.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas Kawasan Arau berkenaan kemudian memenangi kerusi DUN Mata Ayer atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Beliau memperoleh 4,419 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Siti Berenee Yahya yang meraih 2,398 undi serta calon Pakatan Harapan (PH), Amran Kamaruddin dengan 794 undi.

Kemenangan dengan majoriti 2,021 undi itu membolehkan beliau menjadi wakil rakyat Mata Ayer sebelum dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohd Shukri.

Pemergian Wan Badariah kini menyaksikan DUN Mata Ayer kehilangan wakil rakyat, dengan sebarang urusan pengisian kekosongan kerusi berkenaan tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan keputusan pihak berkuasa pilihan raya.

BACA JUGA Dihina dan dilabel tidak matang, Mukhlis tak gentar tetap lawan di Kuala Linggi