Sultan Selangor alami demam panas, lemah anggota badan, doktor nasihat berehat tujuh hari

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan selepas disahkan dijangkiti virus Influenza A sejak pagi semalam.

Susulan keadaan kesihatan baginda, dua doktor peribadi yang merawat Sultan Selangor menasihatkan baginda supaya berehat sepenuhnya dan tidak menghadiri sebarang majlis bagi tempoh lima hingga tujuh hari.

Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jangkitan berkenaan disahkan oleh doktor peribadi baginda, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng selepas pemeriksaan dijalankan.

“Gejala jangkitan mula dikesan pada pagi Jumaat, 30 Oktober apabila baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan,” menurut kenyataan itu.

Jangkitan

Berdasarkan penilaian kedua-dua doktor berkenaan, Sultan Sharafuddin berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.

Bagaimanapun, Istana Alam Shah memaklumkan keadaan kesihatan baginda kini menunjukkan perkembangan positif dan beransur pulih, walaupun masih mengalami demam.

“Keadaan kesihatan Sultan Selangor kini beransur pulih, namun baginda masih mengalami demam.

“Sehubungan itu, doktor yang merawat menasihati baginda berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis bagi tempoh lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Perkembangan kesihatan baginda itu turut menyebabkan dua istiadat penting sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadual berlangsung esok terpaksa ditangguhkan.

Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang sepatutnya diadakan pada esok, kini dijadualkan berlangsung pada 7 November depan.

Menurut pihak istana, keputusan menangguhkan kedua-dua istiadat berkenaan dibuat susulan nasihat doktor supaya baginda diberikan masa mencukupi untuk berehat dan pulih sepenuhnya.

“Semua pihak yang terbabit dimohon mengambil maklum mengenai perubahan tarikh berkenaan. Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai,” menurut kenyataan itu lagi.

Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor tahun ini diadakan bagi memperingati genap 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin yang mula menaiki takhta pada 2001.

Pelbagai acara rasmi, keagamaan dan kemasyarakatan telah disusun sepanjang sambutan berkenaan sebagai tanda kesyukuran dan penghormatan terhadap pemerintahan baginda.

Dalam pada itu, Istana Alam Shah turut menyeru seluruh rakyat supaya bersama-sama mendoakan kesembuhan segera Sultan Sharafuddin agar baginda dapat kembali menjalankan tugas dan menghadiri majlis rasmi seperti biasa.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan supaya Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada baginda,” menurut kenyataan tersebut.

BACA JUGA 4,000 permohonan usahawan B40 di Kelantan, Anwar umum peruntukan geran RM200 juta tahun depan