Jawab projek gagal di Melaka, Rauf ‘bersilat’ salahkan semua KM terdahulu
Dakwaan 55 projek pembangunan bermasalah di Melaka tidak boleh disandarkan begitu sahaja kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH), apatah lagi kerajaan negeri pimpinan Adly Zahari hanya bertahan kira-kira 22 bulan sebelum tumbang akibat Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Ketika menjawab dakwaan mengenai projek bermasalah dan perbelanjaan negeri bagi tempoh 2021 hingga 2024, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebaliknya mengaitkan isu berkenaan dengan legasi beberapa pentadbiran terdahulu, termasuk kerajaan PH.
Untuk rekod, sebelum 2018, Melaka ditadbir selama 60 tahun oleh Umno-BN.
Beliau berkata, perjalanan sesuatu projek mengambil tempoh panjang dan masalah yang timbul tidak semestinya berpunca daripada kerajaan yang sedang memerintah.
“Perjalanan projek ini adalah satu perjalanan yang terlalu panjang, ia diwarisi dari satu ketua menteri (KM) kepada satu ketua menteri termasuk sahabat kita yang pernah menjadi ketua menteri, sahabat sebelah sana (Pakatan Harapan),” katanya.
Namun, hujah mengaitkan pentadbiran Adly perlu dilihat berdasarkan tempoh sebenar PH mentadbir Melaka, iaitu dari Mei 2018 hingga Mac 2020 sebelum kerajaan negeri bertukar susulan Langkah Sheraton.
Tempoh itu jauh lebih singkat berbanding pentadbiran selepas kejatuhan kerajaan PH, sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana wajar tanggungjawab terhadap projek yang bermasalah bagi tempoh 2021 hingga 2024 dikaitkan dengan kerajaan Adly.
Adly, yang kini Pengerusi PH Melaka, sebelum ini mendesak kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai projek terbengkalai termasuk Monorel Melaka yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM16.5 juta serta pembangunan Arab City.
Beliau mahu rakyat mengetahui jumlah wang yang telah dibelanjakan, pihak yang bertanggungjawab dan kedudukan aset projek berkenaan.
Adly turut menegaskan penilaian terhadap projek bermasalah perlu dilakukan tanpa mengira pentadbiran mana yang meluluskannya.
Mengulas lanjut, Rauf berkata projek pembangunan perlu dibezakan mengikut kategori, sama ada dilaksanakan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan atau pihak swasta.
Katanya, projek Persekutuan lazimnya diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, manakala projek swasta bergantung kepada kemampuan kewangan syarikat terbabit.
Beliau mengambil contoh Monorel Melaka dan pembangunan tambak laut yang disifatkannya sebagai inisiatif swasta diberikan konsesi kepada pelabur.
“Kebanyakan projek terbengkalai di Melaka macam orang kata projek monorail, projek-projek Tambak Laut itu adalah projek private initiative yang telah diberikan konsesi kepada syarikat-syarikat yang nak melabur di Melaka.
“Mungkin mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan setelah melalui beberapa proses kejatuhan ekonomi dunia yang menyebabkan projek itu terbengkalai,” katanya.
Bagaimanapun, Rauf berkata beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pentadbiran terdahulu dan memilih memberi tumpuan kepada usaha memulihkan projek yang dikategorikan sebagai projek sakit.
“Saya sudah berjanji tak nak cari salah orang dan kita faham masalah tu berada di mana. Mungkin tak ada bajet lagi ke, mungkin tidak dapat diurus dengan baik menyebabkan menjadi projek sakit,” katanya.
Beliau turut berjanji usaha pemulihan akan diteruskan secara berperingkat mengikut kesesuaian ekonomi semasa sekiranya BN diberikan mandat baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar turut menuntut penjelasan mengenai status 55 projek pembangunan negeri yang dilaporkan belum dimulakan pada Jun 2025, termasuk jumlah yang sudah disiapkan dan masih tertangguh.
Persoalan utama yang kini perlu dijawab bukan sekadar siapa mewarisi projek berkenaan, tetapi apakah perkembangan terkini setiap projek, berapa banyak wang awam telah dibelanjakan dan apakah garis masa pemulihannya.
Dengan PRN Melaka semakin hampir, penjelasan terperinci mengenai projek bermasalah itu wajar menjadi ukuran akauntabiliti kerajaan negeri, bukannya sekadar saling mengaitkan kesilapan pentadbiran terdahulu.
BACA JUGA Hina Sultan Selangor di Facebook, telefon pemilik akaun ‘Vikke Lee’ disita SKMM