Kontrak PBT 30% untuk anak muda, PH mahu belia Melaka jadi pemain ekonomi
Peluang mendapatkan kontrak kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal diperluas kepada golongan muda menerusi tawaran 30 peratus kontrak khusus untuk belia dan beliawanis, antara tiga keutamaan utama manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Tawaran itu bertujuan membuka ruang lebih luas kepada generasi muda tempatan untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi, bukan sekadar sebagai pencari kerja tetapi juga sebagai usahawan dan penyedia perkhidmatan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, cadangan berkenaan terkandung dalam manifesto bertemakan ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’ yang dilancarkan di Bilik Gerakan Utama PH, hari ini.
Menurut penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu, pemberian kontrak berkenaan dijangka membuka peluang pekerjaan, perniagaan serta pengalaman kepada golongan muda tempatan.
“Sekali gus membuka peluang pekerjaan, perniagaan dan pengalaman kepada generasi muda tempatan,” katanya pada sidang media pelancaran manifesto berkenaan.
Selain peluang ekonomi kepada belia, PH turut meletakkan transformasi negeri pintar menerusi inisiatif ‘Smart Melaka’ sebagai satu lagi keutamaan.
Inisiatif itu akan memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran, keselamatan serta kualiti hidup rakyat.
PH juga menyasarkan kedatangan sehingga 25 juta pelancong ke Melaka menjelang 2032, dengan sektor pelancongan dilihat sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi negeri.
“Fokus keutamaan kita adalah memartabatkan industri pelancongan Melaka kerana kita tahu bahawa mengupayakan industri pelancongan akan dapat memberikan lebih banyak peluang-peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Adly berkata, industri pelancongan yang lebih berdaya saing bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan negeri, malah membuka ruang perniagaan kepada masyarakat setempat.
Secara keseluruhan, manifesto PH turut menggariskan 12 aspirasi lain yang merangkumi aspek perumahan, pekerjaan berkualiti, kebajikan rakyat dan pembangunan usahawan.
Antara tawaran yang diketengahkan termasuk geran khas kepada peniaga wanita serta akses modal lebih mudah untuk membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan.
PH turut mencadangkan penggunaan AI bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas, selain memanfaatkan tanah terbiar untuk pertanian moden dan memperkukuh keterjaminan makanan.
Menurut Adly, manifesto itu dirangka berdasarkan maklum balas penduduk serta peniaga, manakala beberapa siri penerangan akan diadakan bagi memperincikan tawaran kepada rakyat.
Turut hadir pada pelancaran itu ialah Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong; Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim; penyandang DUN Kota Laksamana, Lee Chee Leong dan penyandang DUN Kesidang, Allex Seah.
BACA JUGA PMX bincang bantuan tambahan untuk mangsa banjir Kampung Melayu SubangÂ