RM5 bilion dana projek paip gas Sabah berjaya dimanfaatkan semula, kali ini untuk bekalan air Perak

Dana pinjaman RM5 bilion yang sebelum ini diperuntukkan bagi projek saluran paip gas di Sabah kini berjaya disalurkan semula untuk membiayai pembangunan infrastruktur bekalan air di Perak Utara menerusi rundingan kerajaan MADANI dengan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyaluran semula dana itu dimuktamadkan menerusi perjanjian antara Suria Strategic Energy Resources (SSER) dan Export Import Bank of China yang disaksikannya hari ini.

Ketika menjawab soalan ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menjelaskan dana daripada pinjaman projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi Product Pipeline (MPP) yang ditamatkan pada 2018 itu kini dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan asas rakyat.

“Sebanyak RM5 bilion daripada pinjaman bagi projek Trans Sabah Gas Pipeline dan Multi Product Pipeline yang ditamatkan pada 2018 disalurkan semula untuk membiayai skim bekalan air Perak Utara,” katanya.

Anwar berkata, langkah itu membolehkan sebahagian dana yang sebelum ini terikat dengan projek terdahulu dimanfaatkan semula, sekali gus mengurangkan kerugian negara.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Malaysia masih menanggung obligasi pembayaran balik pinjaman berjumlah kira-kira RM8 bilion meskipun kedua-dua projek asal tidak dilaksanakan.

Menurutnya, rundingan dengan pihak China berjaya mendapatkan pertimbangan khas bagi membolehkan dana berkenaan digunakan untuk projek baharu, iaitu pembangunan bekalan air di Perak Utara.

Beliau berkata, skim itu dijangka memperkukuh jaminan bekalan air jangka panjang, bukan sahaja untuk kegunaan domestik, malah sektor pertanian dan perindustrian di Perak serta Pulau Pinang.

Anwar turut menegaskan kelemahan tadbir urus dalam projek terdahulu perlu dijadikan pengajaran supaya wang negara tidak terus mengalami ketirisan akibat kepentingan pihak tertentu.

Katanya, kerajaan perlu memastikan setiap peruntukan pembangunan benar-benar memberikan pulangan dan manfaat kepada rakyat.

“Kemajuan negara perlu diterjemahkan kepada keperluan asas yang terjamin dan kehidupan rakyat lebih sejahtera,” katanya.

Penyaluran semula RM5 bilion itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan MADANI merundingkan semula komitmen kewangan projek terdahulu agar dana berkenaan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur asas.

BACA JUGA PMX bincang bantuan tambahan untuk mangsa banjir Kampung Melayu SubangÂ