Puad cabar Majlis Ulama Umno, Dr Asyraf jangan membisu isu ‘Dajal’ Hadi

Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabelkan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) sebagai pendekatan ‘Dajal’ mencetuskan persoalan terhadap pendirian tokoh agama dalam Umno apabila parti itu turut menjadi sebahagian daripada kerajaan yang menandatangani perjanjian berkenaan.

Bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Majlis Ulama Umno tampil menyatakan pendirian, termasuk meminta pakar agama parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya tidak terus berdiam diri.

Menurut Puad, kenyataan Abdul Hadi itu bukan sekadar kritikan terhadap CSA, sebaliknya boleh memberi gambaran seolah-olah pihak yang menyokong perjanjian berkenaan turut dikaitkan dengan sifat Dajal.

Katanya, Umno juga merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang terlibat dalam pemeteraian CSA, justeru kenyataan Presiden Pas itu turut menimbulkan persoalan terhadap kedudukan parti berkenaan.

“Majlis Ulama Umno perlu bersuara dalam perkara ini. Pakar agama Umno seperti Dr Asyraf (Wajdi Dusuki) jangan membisu dalam perkara ini, kecuali dia dan Dr (Khairuddin Aman Razali) at-Takiri setuju,” katanya dalam hantaran media sosial.

Puad turut mempersoalkan sama ada Umno juga boleh dianggap sebagai ‘Dajal kecil’ seperti yang digambarkan Abdul Hadi kerana parti itu berada dalam kerajaan perpaduan.

“Menurut Haji Hadi ia adalah dajal kecil yang menjadi tentera kepada dajal besar.

“Apakah itu bermakna Umno juga adalah dajal kecil kerana Umno anggota kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sikap berdiam diri dalam isu berkenaan boleh menyebabkan pemimpin agama Umno dilabel sebagai ‘syaitan bisu’, istilah yang pernah digunakan Abdul Hadi sebelum ini.

“Takut nanti masuk dalam kategori ‘syaitan bisu’ seperti yang Abdul Hadi pernah ungkapkan.

“Tidakkah mempolitikkan agama lebih dajal? Semoga ahli Umno membantah kemungkaran ini,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi mengaitkan CSA yang dimeterai kerajaan bersama 13 Ahli Parlimen di luar blok kerajaan dengan pendekatan ‘Dajjal’ pada akhir zaman.

Presiden Pas itu mendakwa perjanjian berkenaan menjadikan kuasa bukan lagi amanah yang wajib ditunaikan kepada seluruh rakyat, sebaliknya alat untuk memaksa pihak tertentu terus kekal berkuasa.

Menurutnya, meskipun pihak yang mengamalkan pendekatan itu tidak berlagak sebagai tuhan, tindakan mereka tetap mencerminkan sifat-sifat Dajjal.

Abdul Hadi turut mengaitkan kemunculan Dajjal dengan tanda akhir zaman apabila amanah dihilangkan dan munculnya penipuan serta paksaan terhadap manusia untuk memberikan ketaatan.

CSA berkenaan dimeterai pada 29 Oktober lalu antara kerajaan dengan 13 Ahli Parlimen termasuk wakil Bersatu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa Ahli Parlimen bebas.

Perjanjian itu antara lain membolehkan wakil rakyat terbabit menerima peruntukan pembangunan kawasan setara dengan Ahli Parlimen penyokong kerajaan, sebagai balasan kepada komitmen menyokong pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa serta Belanjawan 2027.

BACA JUGA Abdul El-Sayed cipta sejarah, Muslim pertama menang kerusi Senat Amerika Syarikat