Dulu bangga Trump menang, kini sorak pula Demokrat, peliknya percanggahan politik identiti
Pemerhati politik, Liyana Marzuki mempersoalkan sikap penyokong politik berhaluan kanan di Malaysia yang sebelum ini berbangga dengan kemenangan Donald Trump tetapi kini meraikan pula kejayaan Demokrat di Amerika Syarikat (AS).
Menerusi hantaran di media sosial, beliau menyifatkan reaksi tersebut sebagai percanggahan apabila golongan berkenaan turut mengamalkan pendekatan politik identiti yang sering dikaitkan dengan Trump.
Pengendali audio siar Jangan Pajak Otak itu berpendapat strategi menggunakan sentimen kaum dan agama bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah menjadi sebahagian daripada kempen politik di AS.

Kempen Republikan, jelasnya, banyak memainkan isu pendatang, Islam dan ancaman keganasan ketika pentadbiran Trump berdepan kritikan mengenai perang Iran serta lonjakan kos sara hidup.
Liyana turut membangkitkan serangan Trump terhadap Abdul El-Sayed, calon Demokrat beragama Islam di Michigan yang menjadi sasaran retorik berkaitan agama dan keselamatan negara.
Pengesan logam
Trump sebelum ini dilaporkan menggelar El-Sayed sebagai pelampau serta menyatakan beliau perlu melalui pengesan logam sebelum dibenarkan memasuki Senat AS.
Bagaimanapun, El-Sayed berjaya menewaskan calon Republikan, Mike Rogers dalam pilihan raya Senat Michigan kelmarin, sekali gus mencipta sejarah sebagai individu Muslim pertama dipilih menganggotai Senat AS.

Beliau juga mengaitkan perkembangan tersebut dengan kejutan politik di Kansas apabila calon Demokrat, Adam Hamilton menewaskan penyandang Republikan, Roger Marshall dalam pilihan raya Senat.
Kemenangan Hamilton mencipta sejarah apabila Kansas buat pertama kali sejak 1932 memilih calon Demokrat ke Senat Amerika Syarikat, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan selama 94 tahun.
“Right wing politics ini lebih kurang sama di merata dunia. Yang mereka guna ialah politik identiti kaum dan agama.
“Yang hairan geng-geng right wing Malaysia yang punya perangai lebih kurang sama, bersorak ketika Abdul dari Democrats menang. Walhal, Abdul itu ideologinya left wing dan sosialis,” katanya.
Dalam konteks Malaysia, Liyana mengimbas tindakan seorang Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menurutnya pernah berbangga dengan kemenangan Trump sehingga menggunakan panggilan ‘Sir’ ketika mengucapkan tahniah kepada pemimpin itu.
Beliau menyindir bahawa pemimpin yang gagal mentadbir dengan baik tidak boleh terus berharap kepada retorik agama untuk mempertahankan kuasa kerana rakyat akhirnya akan menilai prestasi dan kepimpinan mereka.
Dalam masa sama, Liyana turut mengingatkan bahawa pilihan raya bukan sekadar medan memenangkan parti atau pemimpin, sebaliknya menentukan masa depan negara demi kesejahteraan anak cucu dan generasi akan datang.
BACA JUGA ‘Kansas tu macam Kelantan!’ – Kemenangan Demokrat selepas 94 tahun buat netizen teringat Pas