‘Tanya Umno’, Rosmah nafi tahu status kutipan dana Najib RM50 juta

Datin Seri Rosmah Mansor mengakui tidak mengetahui perkembangan kutipan dana RM50 juta bagi membantu suaminya, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, isteri bekas Perdana Menteri itu meminta pihak media mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu daripada Umno.

Rosmah berkata, dia dan ahli keluarga tidak menerima sebarang makluman mengenai dakwaan dua wakil Najib hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk menguruskan pembayaran denda berkenaan.

“Saya tidak tahu, keluarga juga tidak dimaklumkan mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengurusan kes projek solar hibrid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai dua individu yang dipercayai mewakili Najib dilihat meninggalkan kaunter pembayaran di kompleks mahkamah berkenaan.

Rosmah kemudiannya berseloroh apabila wartawan menunjukkan tangkap layar laporan berita yang mendakwa pembayaran denda RM50 juta itu sedang diuruskan.

“Mereka (media) selalu lebih tahu, tetapi selepas itu mereka tarik balik laporan berkenaan. Rupanya tak betul,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kutipan sumbangan orang ramai bagi membantu Najib menjelaskan denda tersebut, Rosmah menegaskan beliau tidak terlibat dalam urusan berkenaan.

“Saya tidak tahu kerana saya tidak terbabit dalam perkara itu,” jelasnya.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada usaha mengumpul dana tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh Umno, Rosmah menjawab ringkas, “Ya”.

Rosmah kemudian meminta wartawan merujuk perkara itu kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai status kutipan berkenaan.

Sebelum ini, Asyraf pada 4 November menafikan khabar angin bahawa Najib akan melunaskan denda RM50 juta pada hari tersebut kerana jumlah sumbangan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak masih belum mencukupi.

Bagaimanapun, Asyraf tidak mendedahkan jumlah sebenar wang yang berjaya dikumpulkan Umno sejak kempen sumbangan awam itu dimulakan pada 18 September lalu.

Tahanan rumah

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Namun, pelaksanaan pengampunan bersyarat tersebut tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat lain yang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sebelum ini turut menjelaskan bahawa Najib perlu terus menjalani hukuman di penjara selagi bayaran denda berkenaan belum diselesaikan.

Denda RM50 juta itu merupakan jumlah yang dikurangkan daripada RM210 juta melalui keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024, yang turut memendekkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Rosmah hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini bagi pengurusan kes projek solar hibrid yang dihadapinya dengan diiringi dua peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

BACA JUGA ‘Yang memekak kuasa Melayu pun berjubah’, kisah PM Anwar angkat martabat baju Melayu jadi bualan netizen