Janji kenaikan gaji sudah ditunaikan, pengundi awal Melaka diseru nilai pencapaian kerajaan

Pengundi awal PRN Melaka yang akan membuang undi esok diseru menilai pencapaian Kerajaan Persekutuan, khususnya kenaikan gaji penjawat awam yang berjaya dilaksanakan selepas sekian lama tertangguh.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Datuk Seri Adly Zahari, berkata pelaksanaan dasar itu membuktikan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menunaikan janji kepada penjawat awam.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pengundi awal khususnya anggota tentera dan polis wajar mengambil kira dasar kerajaan yang turut memberi kesan kepada kebajikan serta kesejahteraan mereka.

“Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah melunaskan janji-janji yang tertangguh lama macam kenaikan gaji,” katanya.

Adly berkata demikian pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH Melaka hari ini yang turut dihadiri Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.

Untuk rekod, penjawat awam menikmati kenaikan gaji di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 13 tahun tiada semakan struktur gaji oleh kerajaan.

Usaha penerangan

Menurut Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, PH telah mempergiat usaha penerangan kepada kumpulan pengundi awal sejak permulaan kempen bagi menjelaskan dasar serta aspirasi yang dibawa gabungan itu.

Beliau yang juga bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada PRN kali ini berharap pengundi awal dapat menilai pencapaian pentadbiran Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

“Jadi harapan kita adalah mereka dapat memberikan sokongan kepada aspirasi kita untuk terus memacu Malaysia ke hadapan,” katanya.

Naib Presiden AMANAH itu turut membangkitkan perkembangan ekonomi negara yang semakin stabil selepas berdepan cabaran pandemik Covid-19 serta pengukuhan nilai ringgit.

Katanya, pencapaian ekonomi itu perlu dilihat bersama usaha kerajaan memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus bagi memastikan pembangunan negara memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pertahanan berkenaan berpendapat kesinambungan pelaksanaan dasar yang baik penting untuk memastikan Malaysia terus berkembang sebagai negara yang stabil dan mempunyai asas ekonomi kukuh.

Sehubungan itu, Adly berharap pengundi awal dapat memberikan perhatian terhadap pencapaian serta hala tuju kerajaan, selain memastikan proses pengundian esok berjalan lancar.

Seramai 12,531 pemilih layak mengundi pada pengundian awal esok yang terdiri daripada 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.

BACA JUGA ‘Untung’ orang Melaka, Pas dah tawar pahala perpaduan politik, netizen gelar ‘Bapa Pahala Negara’