Mat Sabu sanggup serah 100% gaji menteri, mahu NGO perjuang hak banduan jalani tahanan rumah

Kesediaan menyerahkan keseluruhan gaji menteri sehingga Parlimen dibubarkan menjadi taruhan komitmen Datuk Seri Mohamad Sabu bagi menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan mekanisme perundangan yang membolehkan banduan menjalani sebahagian hukuman di penjara dan selebihnya menerusi tahanan rumah.

Ahli Parlimen Kota Raja yang mesra disapa dengan panggilan Mat Sabu itu berkata, sumbangan berkenaan bertujuan membantu NGO menggerakkan usaha memperjuangkan pelaksanaan mekanisme tahanan rumah yang terpakai kepada semua banduan berdasarkan peraturan adil, telus dan tidak memilih individu.

Menurutnya, prinsip keadilan tidak seharusnya dipengaruhi kedudukan, pangkat, pengaruh politik mahupun latar belakang seseorang kerana setiap warganegara berhak mendapat layanan sama di sisi undang-undang.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah atau pertikaian peribadi dengan Datuk Seri Najib Razak mahupun anggota keluarganya.

“Namun, keadilan dalam negara ini mesti ditegakkan secara saksama, tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik mahupun latar belakang seseorang,” katanya dalam kenyataan media khas.

Mohamad berkata, prinsip berkenaan selari dengan ajaran Islam yang menekankan bahawa undang-undang perlu dilaksanakan tanpa pengecualian, termasuk terhadap individu yang mempunyai kedudukan atau hubungan kekeluargaan dengan pemimpin.

Beliau memetik hadis Rasulullah SAW mengenai ketegasan Baginda dalam menegakkan hukum, termasuk sabda bahawa sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, Baginda sendiri akan melaksanakan hukuman terhadapnya.

Katanya, pengajaran daripada hadis itu jelas menunjukkan tiada sesiapa boleh diberikan layanan istimewa atau dikecualikan daripada undang-undang hanya kerana kedudukan dan hubungan kekeluargaan.

Sehubungan itu, Mohamad menyeru badan bukan kerajaan, khususnya Bersih, Majlis Peguam, Persatuan Peguam Syarie serta masyarakat sivil supaya terus memperjuangkan prinsip kesaksamaan dan hak warganegara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mencadangkan supaya NGO menggerakkan usaha bagi mewujudkan mekanisme perundangan yang membolehkan banduan menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara dan baki separuh lagi melalui tahanan rumah.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme berkenaan perlu dirangka berdasarkan peraturan yang jelas, telus dan terpakai secara sama rata kepada semua banduan, bukannya diwujudkan untuk memenuhi kepentingan individu tertentu.

Sebagai tanda komitmen terhadap usaha itu, Mohamad berkata beliau bersedia menyerahkan sepenuhnya gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen bagi membantu membiayai gerakan NGO yang memperjuangkan perubahan berkenaan.

Beliau menegaskan Malaysia perlu terus mempertahankan prinsip keadilan tanpa diskriminasi, layanan terpilih atau amalan dua darjat dalam pelaksanaan undang-undang.

“Undang-undang mesti adil kepada semua. Perlembagaan mesti dipertahan untuk semua. Keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu,” katanya.

Menurutnya, perjuangan berkenaan bukan semata-mata berkaitan seseorang banduan, sebaliknya usaha memastikan prinsip keadilan, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan demi kepentingan seluruh rakyat.

BACA JUGA Berdepan perubahan cuaca, LKIM mahu nelayan ‘turun padang’ ternak ikan pula