Sebelum kerajaan MADANI lagi, hutang negara dah menggunung lepasi RM1 trilion, PM bentang fakta di Dewan Rakyat
Hutang negara yang sudah melepasi RM1 trilion sebenarnya diwarisi Kerajaan MADANI daripada pentadbiran terdahulu, bukannya bermula selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Anwar menegaskan perkara itu ketika menjawab persoalan berhubung peningkatan hutang negara pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, rakyat perlu memahami bahawa hutang negara bersifat terkumpul dan akan terus meningkat selagi kerajaan melaksanakan belanjawan defisit yang memerlukan pembiayaan melalui pinjaman.
“Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran dengan jumlah hutang yang sudah sedia menggunung melepasi RM1 trilion,” tegas beliau.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan, peningkatan mendadak hutang antara 2020 hingga 2022 turut berpunca daripada keperluan membiayai perkhidmatan kesihatan, bantuan rakyat dan pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid-19.
Beliau berkata, pinjaman baharu di bawah pentadbiran MADANI pula digunakan untuk membiayai pembangunan negara, termasuk pembinaan sekolah, hospital, jalan raya serta penyediaan bekalan air dan elektrik.
Diwarisi
Malah, kerajaan turut terpaksa menanggung komitmen kewangan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk pembayaran bon berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kita juga terpaksa memenuhi tanggungan kewangan yang diwarisi. Pada 2023 sahaja, RM13 bilion diperlukan untuk melunaskan bon 1MDB,” katanya.
Anwar menjelaskan, pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan berjaya mengurangkan kadar defisit daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023, sebelum menurun kepada 4.1 peratus pada 2024 dan 3.7 peratus tahun lalu.
Defisit itu dijangka terus mengecil kepada 3.6 peratus tahun ini, 3.3 peratus pada 2027 dan 3.0 peratus menjelang 2028 selaras dengan komitmen Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).
Hasilnya, jumlah pinjaman bersih kerajaan berjaya dikurangkan daripada kira-kira RM100 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, RM76.8 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion tahun lalu.
Nisbah hutang Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga diunjurkan menurun daripada 65.2 peratus pada 2025 kepada 64 peratus tahun ini dan 63.7 peratus pada 2027.
Tanggungan
Anwar turut menolak dakwaan bahawa kedudukan hutang negara semasa pentadbiran terdahulu lebih baik hanya berdasarkan perbandingan nisbah hutang langsung kepada KDNK.
Jelas beliau, sebelum 2018 terdapat perbelanjaan kerajaan yang dibiayai melalui kaedah di luar kunci kira-kira, termasuk jaminan kerajaan dan projek kerjasama awam-swasta yang tidak semuanya direkodkan sebagai hutang langsung.
Oleh itu, angka hutang langsung sekitar 50 peratus daripada KDNK ketika itu tidak menggambarkan keseluruhan tanggungan kewangan negara, termasuk liabiliti yang berpotensi perlu ditanggung kerajaan.
Mengambil kira hutang serta liabiliti, nisbah keseluruhan berada pada 80.7 peratus setakat Jun 2026 berbanding 80.9 peratus pada akhir 2022 dan 80.3 peratus pada 2017.
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila anggaran awal pertumbuhan KDNK suku ketiga 2026 mencatatkan 5.3 peratus.
Kadar pengangguran pula berada pada paras 2.9 peratus setakat September lalu, terendah dalam tempoh lebih 10 tahun, manakala inflasi dijangka kekal di bawah dua peratus sepanjang tahun ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengutamakan perlindungan rakyat, memastikan bekalan keperluan asas mencukupi serta mempertahankan kelangsungan pekerjaan dan perniagaan sekiranya konflik Asia Barat semakin meruncing.
Penjelasan itu susulan soalan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How yang meminta kerajaan menjelaskan kedudukan hutang negara serta kemampuan fiskal untuk melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan global.
BACA JUGA Dulu KJ bertegas kata 1MDB bukan fitnah, kini kempen PRN Melaka pekik ‘sikit-sikit sakau’