Skandal AKSB boleh sebabkan Pas terpelanting di Kelantan

Isu saguhati raya untuk sembilan anggota lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) boleh menyebabkan kerajaan negeri Kelantan bertukar tangan.

Menurut seorang pensyarah universiti tempatan, Dr Ahmad Mohamad, kalau kerajaan Barisan Nasional (BN) Kelantan jatuh pada tahun 1990 lalu kerana Angkatan Perpaduan Ummah, kini Kerajaan Perpaduan yang ada boleh menyebabkan jatuhnya kerajaan Pas di Kelantan.

“Isu Air Kelantan ni. Boleh hilang negeri. Tak mustahil.

“Macam Umno Kelantan 1990. Kerajaan kerajaan BN kalah sebab Perpaduan Ummah.

“Kali ini, ada kerajaan perpaduan. Kalau Allah nak ganti. Semua tak kira lebai, terpelanting,” kata beliau ketika mengulas skandal AKSB yang sedang hangat kini.

Poster yang dikeluarkan oleh Dewan Pemuda Pas Kelantan cuba mempertahankan tindakan AKSB.

Beberapa hari lalu tular dokumen yang berupa minit mesyuarat Lembaga Pengarah AKSB yang memberikan saguhati raya RM10,000 kepada setiap orang dari mereka.

Saguhati ini diberikan ketika rakyat Kelantan berhadapan dengan masalah bekalan air bersih yang gagal dibekalkan oleh AKSB.

Yang ironinya, kakitangan AKSB hanya diberikan RM200 sahaja setiap seorang.

Dokumen yang tular ini disahkan tulin pula oleh Dewan Pemuda Pas Kelantan apabila meminta AKSB menyiasat bagaimana dokumen sulit itu boleh bocor.

Bagi Dr Ahmad, jika kerajaan Pas jatuh pada kali ini, ia akan memerlukan 30 tahun lagi untuk Pas kembali pulih.

“Kalau pas terpelanting. Dia perlu 30 tahun untuk bangun atau jadi parti Erbakan. Tak bangun-bangun,” tulis beliau.

Parti Erbakan yang dimaksudkan oleh Dr Ahmad adalah Parti Saadet di Turki yang pernah ditubuhkan oleh Necmetin Erbakan, yang pernah menjadi perdana menteri Turki namun kini menjadi parti kecil di negara itu.

Kerajaan Pas Kelantan jatuh pada tahun 1978 dan hanya menang semula pada tahun 1990 melalui Angkatan Perpaduan Ummah iaitu parti gabungan Pas, Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan Berjasa.

Pas dan sekutunya menang kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dalam PRU tahun 1990 itu mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Kini BN dan Pakatan Harapan (PH) bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan dan akan memasuki pilihan raya di enam buah negeri termasuk Kelantan yang dijangka akan diadakan pada Jun atau Julai depan.

 

BACA JUGA Pemuda Pas Kelantan desak siasat maklumat sulit AKSB bocor

JUGA Saguhati Aidilfitri AKSB merencatkan bantuan pusat kepada negeri