Bagi jamin bekalan beras negara, KPKM bincang buka tanah baharu dan bantuan pesawah 2027

Usaha memperkukuh pengeluaran beras tempatan bakal menjadi antara tumpuan kerajaan apabila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meneliti cadangan pembukaan kawasan penanaman padi baharu bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras negara.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB) Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung pada 12 November lalu, dengan tumpuan turut diberikan kepada persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global serta bentuk bantuan kepada pesawah menerusi Belanjawan 2027.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu itu menghimpunkan wakil pelbagai peringkat industri, termasuk pesawah, pengeluar benih, pengilang, pemborong serta pengurusan tertinggi kementerian dan agensi berkaitan.

Menurut KPKM, perbincangan tersebut bertujuan mendapatkan pandangan pemain industri bagi merangka strategi lebih menyeluruh untuk memastikan bekalan beras negara kekal mampan dan berdaya tahan.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah cadangan membuka tanah baharu bagi penanaman padi, khususnya kawasan yang mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan secara berperingkat.

Langkah itu dilihat sebagai antara usaha memperkukuh keupayaan pengeluaran domestik dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan beras dari luar negara.

Mesyuarat turut meneliti persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan, termasuk gangguan perdagangan antarabangsa, perubahan iklim dan turun naik harga input pertanian.

KPKM berkata strategi mitigasi awal perlu dirangka bagi memastikan sektor padi dan beras negara lebih bersedia menghadapi sebarang gangguan yang boleh menjejaskan pengeluaran serta bekalan kepada pengguna.

Satu lagi perkara penting yang dibincangkan ialah senarai bantuan kepada pesawah di bawah Belanjawan 2027, termasuk cadangan pakej sokongan, insentif dan bantuan bersasar bagi mengurangkan kos operasi serta meningkatkan produktiviti hasil tuaian.

Menurut kementerian itu, maklum balas daripada pemain industri penting supaya dasar dan bantuan yang dirancang benar-benar mengambil kira keadaan sebenar di lapangan, khususnya cabaran yang dihadapi pesawah.

KPKM turut menekankan keperluan mencari keseimbangan antara kebajikan pesawah, daya maju pengilang dan pemborong serta kepentingan pengguna mendapatkan bekalan beras berkualiti pada harga berpatutan.

Kementerian itu berkata semua syor dan maklum balas yang dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan akan diperincikan bagi menambah baik pelaksanaan inisiatif sedia ada serta memperkukuh perancangan sektor padi dan beras pada masa hadapan.

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membangunkan ekosistem industri padi dan beras yang lebih moden, mampan serta berdaya saing, selain memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara.

BACA JUGA Adly terus cabar BN buktikan dakwaan 97 peratus manifesto telah dilaksana