Esok mengundi, projek ‘gajah putih’ menghantui rakyat Melaka
Di sebalik pelbagai janji pembangunan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beberapa projek lama yang tidak mencapai sasaran kembali menjadi perhatian apabila rakyat masih menunggu penyelesaian terhadap pembangunan bernilai jutaan hingga berbilion ringgit.
Antara yang paling menonjol ialah Arab City bernilai RM1.2 bilion di Pulau Melaka, yang mula dibangunkan pada 2009 tetapi gagal disiapkan mengikut perancangan asal pada 2012.
Projek yang pernah dibayangkan sebagai pusat perdagangan dan pelancongan berkonsepkan Asia Barat itu kini menjadi contoh bagaimana perancangan pembangunan berskala besar boleh kehilangan momentum apabila masalah kewangan dan pelaburan tidak ditangani.
Tidak kurang mengecewakan ialah Monorel Melaka yang menelan belanja kira-kira RM16.5 juta menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, namun perkhidmatannya terhenti sejak 2020 selepas beberapa kali berdepan masalah operasi.
Melaka Gateway pula pernah dipromosikan sebagai hab maritim bertaraf antarabangsa sebelum projek asalnya ditamatkan pada 2020 akibat kegagalan memenuhi jadual pembangunan, dengan rancangan berikutnya dikurangkan kepada skop lebih kecil.
Kemelut tersebut menimbulkan persoalan sama ada keghairahan mengumumkan projek mega selama ini benar-benar disertai kajian daya maju, perancangan kewangan dan mekanisme pemantauan yang mencukupi.
Adly sebelum ini menegaskan PH akan menilai semula projek bermasalah jika diberikan mandat, termasuk menentukan jumlah perbelanjaan, kedudukan aset serta sama ada sesuatu projek wajar dipulihkan atau ditamatkan.
Persoalan mengenai pelaksanaan pembangunan turut dibangkitkan Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar yang menuntut penjelasan berhubung 55 daripada 241 projek negeri yang dilaporkan masih belum bermula pada Jun 2025.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh menolak gambaran bahawa semua projek tersebut masih bermasalah, sambil menyatakan 571 daripada 588 projek negeri dan Persekutuan telah disiapkan serta menegaskan Arab City merupakan projek swasta yang tidak menggunakan dana kerajaan.
Menjelang pengundian esok, persoalan yang wajar dijawab bukan sekadar siapa paling banyak mengumumkan pembangunan, tetapi siapa mampu memastikan projek dilaksanakan, wang awam dipertanggungjawabkan dan kemudahan yang dijanjikan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Melaka.
BACA JUGA 7 Sasterawan Negara bangkit soal keadilan dua darjat!