PDRM laung amaran tiada kompromi penjenayah warga asing
Seramai 96,844 warga asing ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah dalam tempoh 2024 hingga September 2026, sekali gus mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perlakuan jenayah membabitkan warga asing di negara ini.
Menurutnya, statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menunjukkan sebanyak 33,136 tangkapan warga asing direkodkan pada 2024 sebelum meningkat kepada 36,740 tangkapan pada 2025.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3,604 tangkapan atau 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga September 2026, sebanyak 26,968 tangkapan warga asing telah direkodkan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah melibatkan warga asing di Malaysia termasuk memperkukuh sinergi bersama agensi kerajaan lain melalui operasi bersepadu, perkongsian risikan dan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara tegas dan berterusan terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kegiatan jenayah tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan.
Katanya, prinsip kesamarataan di sisi undang-undang atau equality before the law menjadi pegangan PDRM dalam memastikan setiap individu tertakluk kepada undang-undang negara.
“Dalam tindakan ini, PDRM berpegang teguh kepada prinsip kesamarataan di sisi undang-undang dan setiap individu tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan adalah tertakluk kepada undang-undang negara.
“Sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang tidak akan dikompromi dan akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan menerusi operasi bersepadu, perkongsian maklumat risikan serta penyelarasan tindakan bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras jenayah.
Pada masa sama, Mohd Khalid menyeru masyarakat supaya memainkan peranan sebagai rakan strategik pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu usaha pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Kenyataan itu memperlihatkan komitmen berterusan PDRM untuk memastikan undang-undang negara dikuatkuasakan secara adil dan tegas terhadap semua pihak, termasuk warga asing yang melakukan kesalahan di Malaysia.
BACA JUGA Rasuah tetap zalim walaupun dilakukan pemimpin Islam, Fadhlina bidas Hadi