Dari pedalaman Kinabatangan ke Seri Perdana, 11 murid asnaf buktikan kejayaan tiada sempadan

Lokasi sekolah yang jauh di pedalaman bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila kegigihan murid disokong komitmen guru serta peluang pendidikan yang adil dan saksama.

Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan 11 murid asnaf cemerlang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Singgah Manis, Kinabatangan, Sabah, bersama tujuh guru mereka di Kompleks Seri Perdana.

Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar melahirkan rasa kagum terhadap pencapaian murid sekolah berkenaan yang berjaya mengharumkan nama sekolah menerusi pelbagai kejayaan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya kagum dengan kegigihan anak-anak dan guru-guru SK Singgah Manis. Dari sebuah sekolah di pedalaman Kinabatangan, mereka berjaya mencatat pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menitipkan pesanan supaya murid berkenaan terus tekun menimba ilmu dan tidak takut untuk mengejar cita-cita, walaupun datang daripada latar belakang kehidupan yang serba sederhana.

“Saya titipkan pesan kepada anak-anak ini agar terus tekun menimba ilmu dan berani mengejar cita-cita. Apabila berjaya kelak, ingatlah untuk membantu ibu bapa dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut memberikan penghargaan khusus kepada guru-guru SK Singgah Manis yang memainkan peranan penting dalam membimbing dan membina keyakinan murid untuk melangkah lebih jauh.

“Penghargaan khusus saya buat guru-guru SK Singgah Manis yang tidak kenal erti lelah dalam mendidik, membimbing dan memupuk keyakinan anak-anak ini untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

Menurut Anwar, kejayaan murid sekolah berkenaan mengukuhkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang saksama tanpa mengira lokasi tempat tinggal atau latar belakang keluarga.

Katanya, setiap kanak-kanak perlu diberikan ruang dan peluang untuk belajar, mengembangkan bakat serta merealisasikan cita-cita masing-masing.

“Kejayaan anak-anak SK Singgah Manis menguatkan tekad kita untuk memastikan setiap anak, walau sejauh mana pun mereka tinggal, mendapat peluang yang saksama untuk belajar, mengembangkan bakat dan mencapai cita-cita,” katanya.

Perkongsian Perdana Menteri itu turut membawa mesej bahawa kecemerlangan pendidikan tidak seharusnya menjadi keistimewaan anak-anak di bandar sahaja, sebaliknya perlu dapat dinikmati semua murid termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman.

Usaha memperluas akses pendidikan dan membangunkan potensi anak-anak tanpa mengira lokasi merupakan antara perkara penting dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara.

BACA JUGA Akhirnya MB, 10 Exco Negeri Sembilan beralah, tarik balik surat iktiraf Tengku Nazarudin