Gibran sudah letak jawatan, Zahid bila lagi? Puad dakwa TPM tidak akan berundur

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan bila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), selepas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka mengambil keputusan berundur daripada jawatannya.

Puad bagaimanapun mendakwa Zahid tidak akan melepaskan jawatan itu meskipun berdepan desakan DAP, terutama selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November lalu.

“Gibran Jokowi sudah letak jawatan sebagai Naib Presiden Indonesia. Bila pula Zahid akan letak jawatan TPM? Dari segi logik apabila tidak sehaluan letak jawatanlah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Puad, desakan DAP supaya Zahid berundur hanya membuang masa kerana Presiden Umno itu tidak mempunyai sebarang kecenderungan untuk melepaskan kedudukan dalam kerajaan.

“Zahid tidak akan meletak jawatan. DAP buang masa memaksa Zahid letak jawatan. Isu DNAA (pelepasan tanpa pembebasan) Zahid juga tidak cukup kuat untuk paksa dia letak jawatan,” katanya.

Puad turut berpendapat Zahid lebih cenderung menunggu sehingga Parlimen dibubarkan kerana berkeyakinan BN mampu menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Zahid akan tunggu sampai Parlimen bubar. Dia yakin BN boleh ‘wipe out’ PH. Apatah lagi baru menang besar di PRN Melaka,” katanya.

Sukar dicabar

Reaksi Puad itu timbul selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, manakala sekutunya Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi dan PH memenangi empat kerusi.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkenaan juga berpendapat kemenangan itu telah mengukuhkan keyakinan politik Zahid, sekali gus menyebabkan beliau merasakan kedudukannya semakin sukar dicabar oleh pihak dalam mahupun luar Umno.

“Zahid merasakan dia terlalu kuat di dalam dan di luar parti. Dalam Umno tidak ada siapa berani mengkritiknya secara terbuka,” katanya.

Malah, Puad mendakwa individu tertentu yang sebelum ini mempunyai sokongan politik untuk mendesak pengunduran Zahid juga tidak lagi berani menyuarakan kritikan secara terbuka.

Beliau turut mengaitkan kedudukan Zahid dalam Kabinet dengan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya masih bertolak ansur terhadap Presiden Umno itu.

“Zahid bernasib baik kerana PMX masih ‘baik hati’ dengannya.

“Kalau Mahathir yang jadi Perdana Menteri sudah lama Zahid kena tendang dari Kabinet,” katanya.

Puad turut mengheret Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kritikannya dengan mendakwa sikap pemimpin Umno itu semakin luar biasa susulan perkembangan politik semasa.

Kontroversi kedudukan Zahid sebelum ini tercetus apabila Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo menggesa menteri Umno termasuk Zahid meletakkan jawatan sekiranya mereka tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Anwar.

Bagaimanapun, Zahid pada 12 November lalu menegaskan bahawa BN tetap menyokong kerajaan pimpinan Anwar di peringkat Persekutuan, walaupun kedua-dua gabungan mengambil haluan berbeza dalam pilihan raya negeri.

Sementara itu, Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Naib Presiden kepada Presiden Prabowo Subianto dan Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada 12 November lalu.

Peletakan jawatan Gibran berlaku ketika anak bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo itu berdepan kontroversi berhubung kelayakan akademiknya.

Namun, Gibran menegaskan keputusan berundur dibuat demi kepentingan negara dan kelancaran pentadbiran.

BACA JUGA Nazri mahu kembali ke Padang Rengas, Azhari enggan berganjak berpotensi jadi medan pertembungan BN-PN