Dari Manila pulang sambut Macron, terbang semula ke ASEAN, tengah malam Anwar sudah tiba di China

Belum pun reda kesibukan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Manila dan menerima kunjungan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Kuala Lumpur, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun tiba di China seawal tengah malam tadi bagi meneruskan agenda diplomasi dan ekonomi negara.

Jadual padat Perdana Menteri sejak beberapa hari lalu menyaksikan beliau berulang-alik antara Filipina dan Malaysia sebelum meneruskan perjalanan ke Shenzhen untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33.

Pada 16 November, Anwar yang sedang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila berlepas pulang ke Kuala Lumpur bagi menerima kunjungan Macron yang mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak menjadi Presiden Perancis pada 2017.

Kehadiran Macron pada 16 dan 17 November itu merupakan agenda diplomatik penting apabila kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala bagi memperkukuh kerjasama perdagangan, pelaburan, pendidikan, pertahanan dan tenaga.

Malah, Macron sendiri sempat berseloroh dan mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sanggup menyusun semula jadualnya yang padat bagi memastikan pertemuan antara kedua-dua pemimpin dapat diadakan.

Baki agenda

Selesai menerima kunjungan pemimpin Perancis itu semalam, Anwar kembali menaiki penerbangan ke Manila untuk menyambung baki agenda Sidang Kemuncak ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, perjalanan diplomasi Perdana Menteri tidak terhenti di situ apabila beliau kemudian berlepas pula ke Shenzhen, China.

Kunjungan Anwar itu bagi menghadiri satu lagi persidangan ekonomi antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin utama rantau Asia-Pasifik.

Pesawat khas kerajaan yang membawa Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada jam 12.29 tengah malam tadi.

Ketibaan Anwar disambut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad bersama pegawai kanan kedua-dua negara, selain menerima penghormatan daripada 36 anggota kawalan kehormatan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).

Manfaat ekonomi

Di Shenzhen, Anwar dijadual menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak CEO APEC 2026 bertajuk Memikirkan Semula Keterbukaan, Membina Kemakmuran Bersama di Asia Pasifik, yang turut menampilkan Presiden China, Xi Jinping.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan pemain industri dan pelabur antarabangsa bagi meneroka peluang perdagangan serta pelaburan baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia.

Antara agenda penting beliau ialah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 19 November, sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi Jinping pada 20 November bagi membincangkan hubungan strategik kedua-dua negara.

Kepentingan penyertaan Malaysia dalam APEC bukan kecil memandangkan 21 ekonomi anggotanya menyumbang 79.7 peratus atau kira-kira RM2.43 trilion daripada jumlah perdagangan negara sepanjang 2025.

China pula kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion pada tahun lalu.

Rangkaian perjalanan dari Manila ke Kuala Lumpur, kembali ke Manila dan seterusnya Shenzhen itu memperlihatkan betapa padatnya agenda diplomatik yang perlu diuruskan Perdana Menteri dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Daripada menerima kunjungan pemimpin Eropah kepada menghadiri rundingan serantau ASEAN dan pertemuan ekonomi bersama kuasa besar China, tumpuan kerajaan adalah untuk memperkukuh hubungan antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan kepada Malaysia.

BACA JUGA MCA senada DAP pertahan KLSCAH, jangan politikkan tapak warisan dengan isu kaum