MP Pas cerita susah makan nasi bungkus, ‘kantoi’ pukul berapa wakil rakyat PN keluar makan
Perkongsian Ahli Parlimen Baling dari Pas, Hassan Saad mengenai nasi bungkus yang dimakan bersama rakan pembangkang mengundang perhatian apabila aktivis Najib Bakar mempersoalkan waktu mereka keluar makan ketika Dewan Rakyat masih bersidang.
Menerusi Facebook, Hassan yang bergelar Ustaz itu menggambarkan nasi bungkus sebagai makanan sederhana.
Dia turut mendakwa elaun wakil rakyat lebih diutamakan untuk membantu masyarakat di kawasan masing-masing.
“Awal atau hujung bulan, sama sahaja buat kami di blok pembangkang. Nasi bungkus di Parlimen cuma pengalas perut, rezeki pula dikongsi seorang sedikit buat kenduri, asalkan dapat meringankan beban sahabat seperjuangan,” tulisnya.
“Elaun yang ada lebih diutamakan untuk rakyat di lapangan. Beginilah asam garam perjuangan di atas jalan-Nya; meskipun nampak pahit tetap terasa manisnya,” tambah wakil rakyat Pas itu lagi.

Bagaimanapun, Najib tampil mempertikaikan perkongsian yang dilampirkan gambar beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sedang menikmati makanan.
Aktivis itu mengalihkan perhatian kepada televisyen di belakang mereka yang memaparkan siaran langsung persidangan Dewan Rakyat.
“Yang lebih penting kita nak tengok, pukoi berapa depa pi makan tu? Sebab kat TV belakang depa tu tengah live sidang Parlimen,” katanya.
Najib kemudian membandingkan gambar tersebut dengan rakaman persidangan Dewan Rakyat semalam ketika Ahli Parlimen Kuala Nerus sedang berucap.
Beliau turut memuat naik tangkap layar siaran Astro Awani yang menurutnya menunjukkan paparan sama seperti televisyen dalam gambar Hassan.
Berdasarkan perbandingan itu, Najib mendakwa kumpulan Ahli Parlimen PN berkenaan sedang makan sekitar pukul 12 tengah hari.
Malah, beliau mengandaikan mereka mungkin sudah meninggalkan persidangan seawal pukul 11.45 pagi, sedangkan sidang bermula pada pukul 10 pagi.
Najib turut mengingatkan bahawa Dewan Rakyat hanya berehat pada pukul 1 tengah hari sebelum bersambung pukul 2.30 petang.
“Tak bulih ka tunggu sat? Teruk sangat ka lapaq tu waibi-waibi semua,” sindirnya.
BACA JUGA Barisan Exco Melaka berubah, Ab Rauf hapus jawatan kanan, Speaker pula masih teka-teki