Selepas surat letak jawatan MB dipertikai, Adun BN-PN berkumpul di Wisma Umno Seremban malam ini

Selepas surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menjadi pertikaian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan khas di Wisma Umno Negeri Sembilan malam ini.

Perjumpaan yang bermula kira-kira jam 9 malam itu diadakan susulan perkembangan kemelut jawatan Menteri Besar, termasuk penafian Ismail bahawa beliau pernah menghantar atau membenarkan surat peletakan jawatannya dikemukakan kepada pihak istana.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi membincangkan situasi politik dan pentadbiran negeri berkenaan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Wisma Umno berkata, kehadirannya bertujuan mencari penyelesaian terhadap masalah yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.

“Saya datang hari ini nak selesaikan masalah,” katanya, dipetik BH.

Tok Mat yang juga Menteri Luar difahamkan mempengerusikan pertemuan bersama wakil rakyat BN dan PN itu.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang keputusan berkaitan pentadbiran negeri perlu dibuat mengikut perlembagaan serta undang-undang dan tidak boleh mengambil jalan pintas.

“Negara kita negara yang berperlembagaan, negara yang ada undang-undang. Jadi, semuanya mesti dilakukan dengan betul. Tiada jalan pintas dalam perlembagaan,” tegasnya.

Menafikan

Pertemuan itu berlangsung selepas Ismail pada sidang media hari ini menafikan pernah memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya yang bertarikh 16 November lalu dihantar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ismail mengakui surat peletakan jawatan itu sememangnya wujud dan disimpan oleh pimpinan parti, namun menegaskan beliau tidak pernah mengizinkan dokumen itu dikemukakan kepada pihak istana.

Sebelum ini, Zambry menerusi kenyataan pada 16 November lalu memaklumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang didakwa sudah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan hari ini menjelaskan bahawa pihak istana tidak meminta Ismail kekal sebagai Menteri Besar kerana beliau sendiri menegaskan tidak pernah meletakkan jawatan.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Ismail perlu membuktikan bahawa beliau masih memperoleh sokongan majoriti ADUN bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan perlembagaan.

Menurutnya, Ismail juga perlu mengemukakan senarai cadangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk pertimbangan Tuanku Muhriz sebelum tarikh persidangan DUN dan pembentangan Belanjawan Negeri ditetapkan.

Setakat laporan media lewat malam ini, belum ada keputusan rasmi diumumkan hasil pertemuan ADUN BN-PN di Wisma Umno, termasuk sama ada mereka mencapai persetujuan berhubung kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

BACA JUGA Selepas MP DAP, pemimpin PKR pula tegur Poay Tiong, gesa mohon maaf isu solat Jumaat