‘Bangsa dijadikan perisai, agama jadi tunggangan’ – Presiden AMANAH tegur politik lindungi rasuah

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan orang Melayu supaya tidak terpedaya dengan slogan penyatuan bangsa dan agama yang menurutnya digunakan untuk melindungi pemimpin terpalit rasuah serta penyelewengan wang rakyat.

Beliau menegaskan bahawa kebanggaan terhadap bangsa Melayu tidak sepatutnya dijadikan alasan mempertahankan pemimpin yang menyeleweng wang negara hingga berbilion ringgit.

“Mana mungkin untuk kita berbangga dengan pemimpin rasuah yang menyeleweng duit rakyat hingga berbilion-bilion,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Konvensyen Nasional AMANAH di Dewan Raja Muda Musa hari ini.

Mohamad berkata, lebih mengaibkan apabila individu berilmu tinggi dan berkedudukan mulia sanggup menyokong penyelewengan hanya kerana faktor bangsa.

Beliau turut berkongsikan hadis Rasulullah SAW mengenai hukuman terhadap kesalahan mencuri yang tidak boleh dibezakan berdasarkan kedudukan seseorang.

Menurutnya, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih membebankan negara apabila kerajaan menanggung lebih RM50 bilion yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membina sekolah, hospital dan masjid.

Jurang defisit

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu turut membangkitkan isu Tabung Haji yang pernah mencatat jurang defisit antara aset dan liabiliti sekitar RM10.9 bilion sehingga memerlukan tindakan penyelamatan kerajaan.

Namun, katanya, masih terdapat pihak yang cuba mempertahankan penyelewengan dengan berselindung di sebalik seruan penyatuan Melayu dan Islam sambil membangkitkan kebencian terhadap kaum lain.

“Bangsa dijadikan perisai, agama dijadikan tunggangan, sedangkan rakyat terus menanggung kerugian.

“Kita mahu bangsa bersatu mempertahankan kebenaran, bukan bersekongkol mempertahankan kemungkaran!” tegasnya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut menolak dakwaan kononnya Kerajaan Pakatan Harapan meminggirkan Islam, sebaliknya menegaskan pelbagai bantuan dan program berkaitan Islam telah dilaksanakan kerajaan.

Di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan hal ehwal Islam bagi 2026 berjumlah RM2.6 bilion, termasuk RM150 juta untuk menaik taraf prasarana sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz.

Malah, menerusi Belanjawan 2027, kerajaan mengumumkan peningkatan peruntukan hal ehwal Islam kepada RM3.1 bilion, termasuk RM200 juta bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar.

Dalam masa sama, Mohamad turut mengingatkan bahaya asabiyyah apabila kesetiaan kepada kelompok mengatasi kebenaran sehingga penyelewengan dipertahankan demi kepentingan kumpulan.

Bekas Timbalan Presiden Pas berkenaan berkata, ancaman sebenar kepada Melayu dan Islam ialah pemikiran ekstremisme agama, mentaliti terkepung serta kempen kebencian yang menghalang kematangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang Melayu menilai kejujuran perjuangan dan akhlak pemimpin, bukannya menerima slogan penyatuan bangsa tanpa mempersoalkan tujuannya.

“Maruah Melayu terangkat apabila pemimpinnya menolak rasuah, institusinya ditadbir dengan amanah dan rakyatnya mampu berdiri dengan bermaruah,” kata Mohamad lagi.

BACA JUGA Pemuda AMANAH persoal apa guna BN kekal dalam kerajaan jika asyik serang rakan sendiri