Arahan parti lebih utama daripada titah Tuanku? PH Negeri Sembilan persoal BN-PN

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mempersoalkan sama ada arahan pucuk pimpinan parti kini lebih diutamakan oleh wakil rakyat BN-PN berbanding tanggungjawab menghormati titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan berkata, mesyuarat melibatkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN yang sepatutnya membuka jalan penyelesaian kemelut politik negeri itu sebaliknya memperlihatkan arahan kepimpinan parti masih menjadi sandaran utama dalam menentukan pendirian mereka.

“Apakah kepentingan dan keputusan pucuk pimpinan parti hendak diletakkan mengatasi tanggungjawab wakil rakyat untuk menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan?” soalnya dalam kenyataan media pada 23 November.

Menurut PH, kemelut politik dan pentadbiran negeri yang berlarutan lebih 100 hari itu sepatutnya sudah lama dinoktahkan selepas Tuanku Muhriz menitahkan supaya penyelesaian dilaksanakan mengikut lunas perlembagaan.

Bagaimanapun, perkembangan mutakhir memperlihatkan pertikaian politik berkenaan masih belum menemui jalan penyelesaian yang meyakinkan.

PH turut mempersoalkan percanggahan antara kenyataan kepimpinan tertinggi BN dengan perkembangan politik di peringkat negeri apabila Presiden Umno sendiri sebelum ini menyatakan penyelesaian kemelut tersebut perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz.

Namun, pertelingkahan berhubung kedudukan menteri besar masih berterusan sehingga menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan BN-PN untuk menoktahkan kemelut berkenaan.

“Kesetiaan kepada institusi diraja tidak memadai dengan kenyataan terbuka semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang selaras dengan titah, perkenan dan peruntukan perlembagaan,” katanya.

PH turut menempelak kepimpinan BN-PN yang didakwanya masih mengutamakan percaturan kuasa ketika kepentingan rakyat memerlukan perhatian segera.

Lebih membimbangkan, menurut gabungan itu, ketidaktentuan politik tersebut berlaku menjelang persidangan DUN dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 yang melibatkan peruntukan pembangunan, kebajikan rakyat, kemudahan awam serta kelangsungan ekonomi negeri.

“Rakyat memberikan mandat untuk bekerja dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya untuk menyaksikan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan,” katanya.

PH menegaskan pendiriannya sejak awal kekal konsisten dalam menjunjung kedaulatan Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi Undang Yang Empat yang sah di luak masing-masing.

Gabungan itu berkata, segala tindakan dan keputusan sepanjang kemelut berkenaan akan menjadi penilaian rakyat terhadap keupayaan BN-PN memikul amanah pemerintahan.

Sehubungan itu, PH mendesak semua pihak dalam BN-PN segera menghentikan pertelingkahan politik, menghormati proses perlembagaan dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri kembali berfungsi dengan teratur.

“Negeri Sembilan bukan milik mana-mana parti politik. Kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Besar wajib dihormati, keluhuran Undang-Undang Tubuh wajib dipertahankan dan kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan,” katanya.

BACA JUGA Tampung lebih 4 juta pelarian, Turkiye belum bersedia terima 10,000 Rohingya