Angguk berbelas kali dan main jam tangan, bahasa tubuh MB Pas depan Duta Austria cetus sindiran
Bahasa tubuh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika menerima kunjungan hormat Duta Austria menjadi perbualan dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, pemilik akaun @nurul_naemah mendakwa pemimpin Pas itu menganggukkan kepala sebanyak 17 kali dan menggeleng sebanyak 12 kali sepanjang rakaman yang dikongsikan.
Beliau turut menarik perhatian terhadap beberapa gerak tubuh lain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu termasuk mendongak ke atas, tersenyum, bermain dengan jam tangan dan ketawa.
“Bahasa tubuh MB Sanusi lebih banyak ‘bercakap’ apabila dilihat angguk 17 kali, geleng 12 kali, buat-buat tengok ke atas, senyum sikit, main jam tangan, kemudian buat-buat gelak,” tulisnya.

Hantaran tersebut menerima lebih 470 tanda suka dan 108 komen setakat ini dengan deretan komentar bernada sindiran termasuk membandingkan penampilan Sanusi ketika menyampaikan ceramah politik.
“Selalu lantang sangat. Tiba waktu ni boleh jadi pendiam,” komen pengguna @msarmieza.
Sementara itu, @roziyahmahamad mencadangkan supaya Menteri Besar Kedah itu mengikuti kelas komunikasi termasuk mempelajari cara membawa diri dalam pertemuan rasmi.
“Kena masuk kelas komunikasi. Belajar siap gaya senyum. Gaya duduk semua,” tulisnya.
Netizen lain pula memberikan perhatian terhadap postur badan, gerakan kepala, senyuman serta respons lisan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN) itu sepanjang rakaman berkenaan.
Terdapat juga pengguna yang membandingkan penampilan Sanusi dalam pertemuan tersebut dengan gaya komunikasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jauh berbeza ketika bertemu wakil negara asing.
Dalam pada itu, seorang pengguna lain, @the_khabus secara berseloroh mengaitkan pertemuan itu dengan aksi Sanusi membuka lemang, menjala ikan di bendang dan mengendalikan jentera pengorek.
BACA JUGA Bukan hanya beri RM200, Anwar mahu ibu bapa turut pikul tanggungjawab mendidik anak