Menang PRN bukan bermakna pengundi sudah terima MCA

Kejayaan MCA memenangi beberapa kerusi dalam pilihan raya kebelakangan ini tidak semestinya membuktikan sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu sudah pulih secara menyeluruh, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan komposisi pengundi dan pola undi di kawasan berkenaan.

Penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Lau Zhe Wei berkata, kemenangan MCA di kerusi tertentu tidak boleh terus ditafsirkan sebagai kebangkitan sokongan pengundi Cina kerana faktor demografi turut memainkan peranan besar dalam menentukan keputusan.

Menurutnya, beberapa kerusi yang dimenangi MCA mempunyai peratusan pengundi Melayu yang lebih tinggi, sekali gus menjadikan komposisi kaum sebagai faktor penting dalam memahami kejayaan parti itu.

“…kita perlu membezakan antara kemenangan sesebuah parti dengan perubahan sebenar kecenderungan politik sesuatu kelompok pengundi,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Lau bagaimanapun tidak menafikan MCA mungkin menunjukkan sedikit peningkatan sokongan, namun perkembangan itu belum semestinya cukup kuat untuk membolehkan parti berkenaan meraih lebih banyak kemenangan, terutama di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Beliau memberi contoh kawasan seperti Kota Laksamana dan Bandar Hilir yang mempunyai komposisi pengundi Cina lebih besar, dengan kedudukan MCA dijangka lebih mencabar jika parti itu bertanding di kawasan berkenaan.

Mengulas kemenangan MCA di beberapa kerusi di Melaka, termasuk Klebang dan Machap, Lau berkata faktor komposisi kaum perlu diberi perhatian dalam menilai keputusan yang dicapai parti itu.

Katanya, Klebang merupakan kawasan campuran dengan peratusan pengundi Melayu lebih besar, sekali gus memberi pengaruh kepada keputusan pertandingan yang membabitkan MCA dan PKR.

Situasi sama turut berlaku di Machap, apabila kemenangan MCA tidak semestinya mencerminkan peningkatan sokongan masyarakat Cina secara dominan, sebaliknya boleh dipengaruhi gabungan faktor demografi dan kecenderungan pengundi.

Lau menjelaskan, pola pengundian boleh dianalisis melalui kecenderungan kelompok pengundi berdasarkan komposisi kaum, dengan pengundi Melayu mungkin lebih cenderung kepada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), manakala pengundi Cina pula lebih cenderung kepada Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pola itu hanya satu andaian untuk memahami kecenderungan pengundi dan tidak boleh dianggap sebagai formula tetap dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Faktor calon, rekod perkhidmatan, isu setempat dan prestasi parti juga boleh mempengaruhi keputusan, selain komposisi kaum di sesuatu kawasan.

Oleh itu, kejayaan MCA memenangi kerusi dalam pilihan raya tidak semestinya menjadi bukti bahawa parti itu sudah mendapat semula penerimaan menyeluruh masyarakat Cina, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks lebih luas berdasarkan pola pengundian dan keadaan politik setempat.

BACA JUGA Bukan hanya beri RM200, Anwar mahu ibu bapa turut pikul tanggungjawab mendidik anak