Tuanku Muhriz noktahkan kemelut, PH ingatkan BN-PN jangan ulang perbuatan derhaka

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menjunjung kasih kebijaksanaan dan ketegasan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam menangani kemelut politik dan pentadbiran negeri yang berlarutan hampir empat bulan.

Dalam kenyataan media hari ini, Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan mengingatkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mengulangi tindakan yang mencetuskan krisis sehingga menjejaskan pentadbiran negeri.

Menurutnya, perkembangan terkini membuktikan betapa pentingnya semua pihak menghormati kedudukan dan kuasa Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

PH Negeri Sembilan turut menegaskan pendiriannya bahawa tindakan kepimpinan BN-PN sejak awal krisis merupakan satu bentuk penderhakaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar.

Pendirian itu, menurut PH, berasaskan tindakan kerajaan BN-PN yang secara kolektif menerima proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebelum akhirnya menarik balik keputusan dan surat yang dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu.

“Hakikat bahawa kerajaan BN-PN sendiri kemudian mengesahkan proklamasi tersebut tidak sah memperlihatkan betapa seriusnya percanggahan keputusan yang berlaku.

“Jangan sesekali perbuatan yang dianggap derhaka ini berulang, apatah lagi oleh mereka yang telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan institusi negeri dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Menarik sokongan

PH Negeri Sembilan turut menyifatkan perkembangan politik itu sebagai mengecewakan apabila kemelut yang bermula dengan tindakan 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan akhirnya berlanjutan menjadi pertikaian sesama kepimpinan BN-PN sendiri.

Katanya, perebutan kedudukan Menteri Besar, pertikaian sokongan ADUN dan kegagalan menyelesaikan pembentukan Exco menunjukkan bahawa perubahan kerajaan tidak dengan sendirinya menyelesaikan masalah yang dijadikan alasan untuk menamatkan pentadbiran terdahulu.

“Persoalan besar yang perlu dijawab ialah apakah penyelesaian sebenar yang telah diberikan kepada rakyat sepanjang tempoh tersebut?” soalnya.

Dalam masa sama, PH Negeri Sembilan menyuarakan kebimbangan terhadap kesan ketidaktentuan politik itu kepada kesinambungan dasar pembangunan, keyakinan pelabur dan pelaksanaan program untuk rakyat selepas negeri berkenaan membina momentum pembangunan selama tujuh tahun.

Gabungan itu juga menggesa kerajaan negeri segera menyelesaikan ketidaktentuan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 bagi mengelakkan gangguan peruntukan serta risiko pemberhentian operasi atau shutdown fungsi pentadbiran tertentu.

PH menegaskan bahawa perkembangan terkini sewajarnya menjadi pengajaran kepada seluruh kepimpinan BN-PN agar menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar, akur kepada titah Tuanku dan kembali memberikan tumpuan kepada amanah mentadbir negeri.

Malah, jika kemelut politik kembali berulang sehingga kerajaan tidak lagi mampu berfungsi dengan stabil, PH berpandangan pilihan mengembalikan mandat kepada rakyat wajar dipertimbangkan melalui proses perlembagaan.

“Empat bulan ketidaktentuan sudah terlalu lama. Jangan ulangi tindakan yang mengundang krisis. Jangan biarkan rakyat terus menjadi mangsa.

“Daulat Tuanku!” tegas PH Negeri Sembilan itu lagi.

BACA JUGA ’36 tahun benda asas pun tak selesai’, Anwar baru empat tahun sudah ditohmah gagal