Nurul Izzah gesa PH-BN kerja lebih kuat kempen di media sosial
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengingatkan jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) perlu bekerja lebih kuat untuk memenangi hati rakyat menerusi kempen di media sosial.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan negeri itu berkata, parti lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) dilihat menggunakan medium berkenaan secara agresif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Nurul Izzah berpendapat keadaan tersebut menjadi satu ancaman kepada PH apabila PN terlalu menonjol di media sosial menyebabkan sukar untuk PH-BN menangkis fitnah ditabur parti itu, khususnya di platform aplikasi TikTok.
“Kita berdepan ‘bahaya’ kerana sukar sebenarnya untuk menangkis fitnah yang sedang menular dalam TikTok dan sebagainya.
“Justeru, semua anggota dan pimpinan serta jentera kita perlu sentiasa berwaspada, termasuk juga kepada pengundi.
“Kita tidak mahu undian dibuat bukan berdasarkan fakta, khususnya di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, yang ramai berpuas hati dengan kepemimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, Bukit Mertajam hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Nurul Izzah, berkata PH agak terlewat berkempen di media sosial, namun semua anggota dan pemimpin parti kini sudah mula bekerja bagi memastikan keberadaan jentera PH di platform terbabit dalam usaha memenangi semula hati rakyat khususnya pengundi muda.
Tambahnya, walaupun peratusan sokongan dan tahap kepuasan hati di Pulau Pinang masih tinggi, jentera PH perlu terus bekerja bagi memastikan kemenangan parti.
BACA JUGA Tiga TikTokers Pas sudah ‘hilang’ dari radar?
Â