Pembersihan total UMNO, Lembaga Disiplin demokratik – Puad
Pembersihan total UMNO yang ditandai dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu malam tadi merupakan satu keperluan untuk menyahkan individu yang bermasalah.
Hal itu ditegaskan oleh ahli MKT UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, tidak mengejutkan apabila UMNO mengambil tindakan memecat pemimpinnya kerana parti lain juga pernah berbuat demikian.
Beliau berkata, PKR sebelum ini telah memecat Timbalan Presiden Azmin Ali, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Tian chua tetapi parti itu kekal kukuh.
Katanya, pemecatan ke atas Datuk Seri Khairy Jamaluddin (KJ) semalam dilakukan atas syor Lembaga Disiplin UMNO. Begitu juga penggantungan ke atas pemimpin lain.
“Apakah ini mengejutkan? Parti kena berani sebagaimana mereka yang dipecat itu berani memfitnah parti. Bersatu juga memecat Tun Mahathir dan Mukriz. PKR pula memecat Azmin, Tian Chua dan Zuraida. Tiada yang luar biasa.
“Luar biasa ialah tindakan KJ menghentam parti dan Presiden semasa kempen PRU. Parti jadi kambing hitam kononnya untuk meraih undi. Lagi luar biasa tindakan Hishamuddin (Hussein).
“Dia tidak serik membelakangkan parti. Bawa Ahli Parlimen (MP) UMNO ke rumah Azmin Ali. Suruh Ketua Bahagian (UMNO) Sabah masuk Bersatu. Penggerak utama MP BN tanda tangan Akaun Berkanun (SD) sokong Muhyiddin.
“Ada yang akan kata, anak muda akan lari dari UMNO. Kita tanya balik, berapa ramai anak muda yang mereka bawa masuk untuk sokong perjuangan UMNO?
“Apakah ia demokratik? Ia diputuskan atas syor Lembaga Disiplin UMNO. Ia bukan keputusan Presiden. Cuma kali ini Presiden yang bawa syor tersebut pada MKT,” katanya dalam catatan di Facebook.
Puad sebaliknya menafikan dakwaan Noh Omar bahawa Presiden UMNO telah mengambil keputusan sendiri.
Katanya pemecatan dan penggantungan keahlian UMNO ketika ini berbeza seperti era Tun Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 yang tidak dilakukan melalui Lembaga Disiplin.
Puad mengesahkan terdapat 16 laporan sabotaj terhadap Noh Omar yang diperhalusi oleh Lembaga Disiplin parti.
Bagaimanapun beliau menolak spekulasi kononnya UMNO selepas ini akan berpecah belah.
“Apakah parti akan pecah? Itulah naratif yang akan dieksploit oleh sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati. Tetapi parti sudah lama dipecahbelahkan oleh mereka yang suka melawan keputusan parti.
“Selepas UMNO hilang kuasa di PRU ke 14 ada pemimpin menjauhkan diri dari UMNO. Takut terpalit dengan kluster Mahkamah. Mereka takut didakwa kerana telah dipanggil SPRM
“Mereka duduk di luar pagar. Ada kalanya tikam parti dari belakang. Kini mereka dipecat atau digantung. Apa salahnya mereka sekali lagi duduk di luar pagar,” katanya sinis.
Malam tadi Majlis Kerja Tertinggi UMNO memecat Khairy dan Noh Omar. Sementara itu beberapa pemimpin lain digantung keahlian seperti Hishammuddin Tun Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempoh, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang yang digantung selama enam tahun.
Manakala ahli MKT, Fathul Bari Mat Jahya, diberi surat tunjuk sebab.
BACA LAGI PRN: PH Terengganu sedia kerjasama BN
Â