Fokus sahaja pada Kedah, bukan rancang Langkah Dubai – Anthony Loke selar Sanusi
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyelar sebarang usaha mahu menggulingkan kerajaan termasuk yang disebut sebagai ‘Langkah Dubai’.
Beliau berkata, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Menteri Besar Kedah sepatutnya menumpukan kepada usaha memajukan negara dan bukannya sibuk menggerakkan komplot menggulingkan kerajaan.
Beliau juga menyifatkan mereka yang menggerakkan rancangan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
“Pembangkang memang tiada kerja lain. Sepatutnya Menteri Besar Kedah ini fokus majukan negara, sudah diberi mandat sepatutnya dia fokus bekerja sebagai Menteri Besar Kedah bukannya ambil ‘Langkah Chow Kit, Langkah Alor Setar dan sebagainya. Itu orang yang tidak bertanggungjawab.
“Orang yang cakap secara berterus terang mahu langkah itu, langkah ini yang mahu tumbangkan kerajaan adalah langkah yang tidak bertanggungjawab. Sebagai menteri besar, ahli politik, sepatutnya fokus kepada kerja kita,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sanusi yang mengesahkan wujudnya rancangan ‘Langkah Dubai’.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu malah memberi bayangan usaha mengambil alih kerajaan secara demokrasi tidak pernah dihentikan oleh pembangkang.
Menurutnya, rancangan itu sebenarnya dikatakan dibincang di Kuala Lumpur sahaja dan menyifatkan ia sebagai ‘Langkah Chow Kit’ dan ‘Langkah Dubai’ itu adalah dummy sahaja.
Dalam pada itu Anthony berkata, beliau sebagai Menteri Pengangkutan hanya fokus kepada satu langkah sahaja iaitu langkah pendigitalan bagi kementeriannya
“Bagi saya sebagai Menteri Pengangkutan, saya hanya ada satu langkah sahaja iaitu ‘Langkah Pendigitalan Kementerian Pengangkutan,” katanya.
BACA JUGA Sanusi sahkan PN ada rancangan tumbangkan Kerajaan MADANI